Nasib murid OKU diseret van - Berita Semasa | mStar

Nasib murid OKU diseret van

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2018 5:46 PM

Sabariah melihat anak bongsunya yang terlantar di hospital. Foto Sinar Online

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Seorang murid perempuan OKU yang dilaporkan parah selepas diseret van sekolah tengah hari Jumaat dilaporkan stabil dan menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

Mangsa, Wan Ainul Aqilah Wan Ismail, 11, diseret van yang dinaikinya selepas turun untuk pulang ke kediaman keluarganya di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hilir Perak kira-kira pukul 1 tengah hari.

Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perwira cedera parah di bahagian belakang badan, paru-paru serta cedera ringan di bahagian tangan, muka dan kaki.

Ibu mangsa, Sabariah Othman, 56, berkata, keadaan anak bongsunya itu kini stabil dan boleh berinteraksi dengan ahli keluarga lain.

“Saya bersyukur kerana dia sudah mula sedar walaupun dimaklumkan berada dalam keadaan kritikal sebelum ini dan masa itu saya hanya mampu berdoa agar Allah SWT menyelamatkan anak saya,” jawabnya ringkas.

Bagi bapa mangsa, Wan Ismail Yaakob pula menyifatkan kejadian yang berlaku kepada anaknya itu sebagai ujian dan dugaan ALLAH SWT. buat mereka sekeluarga.

“Kejadian berlaku sekitar pukul 12.40 tengah hari dan saya sedang bertugas di IPD Hilir Perak sebelum menerima panggilan daripada isteri memaklumkan anak cedera dilanggar van dan bergegas ke HTI.

“Luluh hati saya melihat anak bongsu saya cedera parah dan menerima rawatan di kecemasan HTI sehingga pukul 5.30 petang sebelum dipindahkan ke wad,” katanya.

Wan Ismail juga berharap kejadian yang menimpa anaknya itu dijadikan iktibar kepada semua pengusaha van sekolah supaya berhati-hati selepas menurunkan pelajar sekolah dan memastikan mereka selamat sebelum menggerakkan kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat kemalangan melibatkan seorang murid sekolah dengan sebuah van di Kompleks Perumahan IPD Hilir Perak pada pukul 5.30 petang.

“Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah menaiki van, apabila sampai di lokasi mangsa telah terjatuh daripada van.

“Mangsa mengalami kecederaan retak tulang belakang dan dirawat di HTI. Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Sinar Online

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan