'Gelombang Biru' banjiri Bandar Sukan KL - Berita Semasa | mStar

'Gelombang Biru' banjiri Bandar Sukan KL

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2018 7:36 PM

Orang ramai mula membanjiri perkarangan Bukit Jalil sebelum bermulanya Pelancaran Manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 'Bersama Barisan Nasional Hebatkan Negaraku' di Stadium Axiata Arena malam Sabtu. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) mula membanjiri Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil untuk menghadiri pelancaran Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 BN, malam Sabtu.

Mereka tampil berpakaian warna 'royal blue', sebagai tanda sokongan padu kepada BN.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ditemui berkata, lebih daripada 40,000 penyokong BN dari seluruh negara telah mengesahkan kehadiran mereka pada Sabtu.

Katanya, beberapa skrin besar turut disediakan di perkarangan stadium bagi mereka yang tidak dapat masuk ke dalam stadium untuk mengikuti majlis gilang-gemilang itu secara langsung dari luar stadium.

Sementara itu, sebanyak 100 buah ‘food truck' ada di luar stadium yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman kepada para pengunjung. 

Seorang pemimpin daripada Parti Demokratik Progresif  (PDP), Sallih Bitin, 62, berkata, beliau sanggup datang dari Kuching pada Sabtu bersama-sama lebih 70 lagi anggota PDP untuk menghadiri majlis malam Sabtu, sebagai menzahirkan sokongan dan perpaduan kepada BN serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami mengharapkan manifesto yang positif bagi penduduk  Sarawak, secara peribadi, saya mahu melihat projek infrastruktur baharu khusus bagi Sarawak dan penambahbaikan dalam kemudahan asas serta pendidikan bagi golongan muda kita,” katanya.

Najib akan melancarkan Manifesto tersebut di Axiata Arena pada pukul 8 malam Sabtu, yang turut disaksikan barisan pemimpin BN.  

Dokumen penting itu menggariskan komitmen dan aspirasi kerajaan pimpinan BN dalam memakmurkan rakyat dan terus memacu Malaysia ke arah kecemerlangan.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung oleh stesen TV utama seperti RTM, BNC, TV3 dan Astro Awani. - Bernama

Tags / Kata Kunci: BN , Barisan Nasional
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan