Ahli PPBM tak akan sertai parti lain - Tun M - Berita Semasa | mStar

Ahli PPBM tak akan sertai parti lain - Tun M

Diterbitkan: Jumaat, 6 April 2018 2:29 PM

Dr Mahathir Mohamad.

(Ubah saiz teks)


KUALA LUMPUR: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan menyertai parti komponen lain dalam Pakatan Harapan berikutan pembubaran sementara parti itu, kata pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mereka tidak akan menyertai mana-mana parti kerana mereka adalah ahli kami. Tetapi, jika kita sah, kita akan tuntut mereka sebagai ahli kita," katanya pada sidang media di pejabatnya di Yayasan al-Bukhary pada Jumaat.

Bekas perdana menteri itu berkata, ahli PPBM akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum akan datang, di bawah logo yang digunakan oleh Pakatan Harapan.

"Jika mereka mengatakan kita tidak sah, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa kita berasal dari PPBM. Tapi 52 kerusi masih milik kita - bukan PPBM, tetapi dahulunya dibentuk oleh PPBM.

"Setiap daripada mereka boleh bertanding sebagai individu dan sudah tentu mereka boleh menggunakan logo yang akan diumumkan malam esok (7 April)," katanya.

Pribumi bakal bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27) pada PRU akan datang.

Spekulasi bertiup kencang apabila parti-parti komponen di bawah Pakatan Harapan akan menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai gabungan pembangkang, masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk didaftarkan sebagai gabungan secara rasmi.

Pada Khamis, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Februari.

Ini bermakna, PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Tags / Kata Kunci: PPBM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan