Lebih 350 Pengeksport M'sia, 189 Pembeli Asing Sertai INSP - Berita Semasa | mStar

Lebih 350 Pengeksport M'sia, 189 Pembeli Asing Sertai INSP

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2018 11:54 AM

Matrade
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih 350 pengeksport Malaysia dan 189 pembeli asing dari 41 buah negara menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2018.

Inisiatif padanan perniagaan, yang berlangsung sehari sebelum pameran itu, dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan merupakan platform yang baik bagi syarikat Malaysia untuk menemui pembeli yang berpotensi dari seluruh dunia.

"Kami berharap selepas komunikasi dapat diwujudkan, hubungan akan terus berkembang, diperkukuhkan oleh aktiviti Matrade yang lain yang kami laksanakan sepanjang tahun seperti Misi Memacu Eksport," kata Pengarah Amerika Utara/Amerika Latin Matrade, Khairul Annuar Abdul Halim dalam kenyataan pada Selasa.

Tahun lepas, INSP menjana jualan sebanyak RM300 juta dengan sektor makanan dan minuman menyumbang jumlah jualan yang terbesar.

Bagi edisi tahun ini, Matrade menyasarkan untuk menandingi angka tahun lepas.

Antara negara yang terlibat dalam acara selama sehari itu ialah China, Cote D'Ivoire, India, Arab Saudi, Indonesia, Thailand, Kemboja, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Mihas 2018 akan diadakan selama empat hari mulai 4 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Matrade , Mihas , INSP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan