“Muka Melecur Hitam Terkena Periuk Meletup, Rasa Nak Tangguh Kahwin Tapi...” - Berita Semasa | mStar

“Muka Melecur Hitam Terkena Periuk Meletup, Rasa Nak Tangguh Kahwin Tapi...”

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2018 7:30 AM

Keadaan Siti selepas melecur di bahagian muka terkena sup panas. Foto Facebook Siti Salmian

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang wanita diduga apabila wajah dan sebahagian badannya melecur akibat terkena sup panas dari periuk tekanan (pressure cooker) yang meletup secara tiba-tiba.

Kejadian berlaku ketika wanita malang itu memasak sup tulang, kira-kira sebulan sebelum berkahwin dengan jejaka pilihan hati.

Wanita berkenaan, Siti Mariyanti Salmian berkata, selama ini dia tidak pernah menggunakan periuk tersebut dan kebiasaannya sup dimasak oleh ibunya kecuali pada hari kejadian.

Wajah Siti sebelum melecur.

“Kita pun rebuslah tulang-tulang daging lembu tu dalam pressure cooker macam biasa. Punyalah bodoh sangat kita pun ‘kunci’ periuk tu. Mungkin perut ni lapar sangat pergilah dapur tengok periuk tu usiklah pemegangnya... entah macam mana sekali meletup habis kena satu muka badan bagai. 

“Nasib pejam mata masa tu kalau tak pejam mungkin mata pun kena sekali. Masa kena sup panas tu, hanya Allah saja yang tahu betapa panasnya muka, tangan dan badan. Lepas kena memang terus tadah muka dekat air yang mengalir.

“Itu pun sebab kakak kita ni jururawat. Dia yang suruh letak tempat kena air panas tu dekat air yang mengalir, sebab tak nak ada gelembung. Yelah muka kan, sebulan lagi nak kahwin siapa tak ‘frust’ (kecewa) kan?,” katanya menerusi posting di laman Facebook, Ahad sehingga tular.

Cebisan kulit mati yang mengelupas .

Wanita berusia 24 tahun itu berkata, insiden yang berlaku pada 20 Mac lalu adalah kesilapannya kerana tidak arif mengenai penggunaan peralatan memasak itu.

Siti yang berasal dari Sitiawan, Perak berkata, perasaannya berkecamuk berdepan dengan insiden itu, kerana bimbang kesan melecur mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Bayangkan wajah saya mula merah-merah dan bertukar kehitaman bermula selepas sehari kejadian berlaku. Kulit pun mengelupas.

“Mulut pun sakit menyukarkan saya untuk bercakap selama seminggu. Bahagian dada juga melecur. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu,” katanya kepada mStar Online.

(Kiri) Wajah Siti pada hari keempat kejadian. (Kanan) Wajah Siti beransur pulih pada hari ke-14.

Emosinya yang terganggu menyebabkan peniaga secara kecil-kecilan ini pada awalnya menyuarakan hasrat untuk menangguhkan perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 21 April depan.  

“Saya rasa tertekan dan sedih ketika itu. Saya bimbang tak dapat sembuh sebelum hari perkahwinan. Saya ada beritahu tunang kalau dapat tangguhkannya.

“Tapi mujur tunang saya amat memahami dan memberi kata-kata sokongan membuatkan saya mahu meneruskan perkahwinan. Dia kata ‘InsyaAllah akan sembuh, banyakkan berdoa dan bersabar,” kata Siti sambil menambah keluarga dan teman-teman rapat turut memberi sokongan kepadanya.

Menurut Siti, perkongsian mengenai kisahnya itu diharapkan dapat dijadikan iktibar buat masyarakat supaya lebih berhati-hati dan berusaha untuk mendapatkan ilmu dan panduan bagi setiap perkara yang ingin dilakukan.

“Periuk tak salah, yang salah ada kebodohan saya sendiri. Tapi pengalaman ini membuatkan saya belajar dari kesilapan dan menjadi lebih positif,” katanya.  

Siti terharu tunang banyak memberi sokongan.

Selain terharu dengan penerimaan tunang, Mohd Nur Redzuan Ahmad Termazi, 29, Siti juga sedar mengenai qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah.

“Saya terima takdir dan setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya pernah kata, saya sanggup untuk naik pelamin meskipun belum pulih sepenuhnya.

"Tapi Alhamdulillah, saya beransur pulih, saya amat bersyukur. Terima kasih kerana ramai yang memberi sokongan kepada saya,” katanya yang mula menghitung detik bergelar isteri.

Tags / Kata Kunci: melecur
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan