Kecewa Tak Dapat Diskaun 70 Peratus Saman, Kompaun JPJ - Berita Semasa | mStar

Kecewa Tak Dapat Diskaun 70 Peratus Saman, Kompaun JPJ

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2018 2:39 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ramai rakyat Malaysia yang berharap untuk mendapatkan diskaun 70 peratus bagi saman dan kompaun trafik mereka, kecewa pada pagi Selasa apabila diberitahu oleh pegawai di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa tiada arahan diterima berhubung diskaun itu.

Pembaca The Star, S. Lisa, yang hadir ke pejabat JPJ di sini berkata, separuh daripada kira-kira 50 orang beredar selepas seorang pegawai membuat pengumuman itu pada waktu tengah hari.

"Pejabat JPJ sesak dengan ramai orang yang kebanyakannya datang untuk membayar saman. Menurut pegawai itu, dia tidak pasti bila diskaun 70 peratus akan berkuat kuasa. Kata pegawai itu, mungkin esok atau lusa," tambahnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi berkata, jabatan itu sedang memuktamadkan sistemnya bagi membolehkan proses diskaun dilaksanakan tidak lama lagi.

"Sistem untuk pembayaran itu akan siap secepat mungkin," kata Wan Ahmad Uzir tanpa mengulas lanjut bilakah ia boleh dilaksanakan. 

Bagaimanapun katanya, ia boleh dilaksanakan seawal Rabu (4 April).

Pada Isnin, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, JPJ menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun yang dikeluarkannya, sepanjang April sempena sempena ulang tahun jabatan itu yang ke-72.

Beliau berkata, diskaun akan bermula pada April, tetapi tidak menetapkan tarikh khusus pelaksanaannya.

Tags / Kata Kunci: JPJ
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan