Maria Chin Tanding Atas Tiket PKR - Berita Semasa | mStar

Maria Chin Tanding Atas Tiket PKR

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2018 11:41 AM

Maria Chin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah akan bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Bagaimanapun, PKR belum memutuskan kawasan Parlimen yang akan ditandinginya.

Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat PKR pada Jumaat, dihadiri naib presiden parti, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin, dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

"Saya fikir ini adalah momen penting bagi kita kerana mempunyai seseorang seperti Maria yang mewakili masyarakat sivil (akan membantu) sentiasa memastikan ideal pembaharuan dan prinsip kita tetap utuh. Ini sangat penting dalam tradisi PKR.

"Bila kita pertama kali dibentuk pada 1999, kita sentiasa memberi ruang kepada kami dan seterusnya diperkukuhkan oleh kehadiran pemimpin masyarakat sivil," kata Nurul Izzah pada sidang media.

Ketika ditanya pemberita mengapa memutuskan untuk mengubah keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas, Maria berkata, "Itu masih terpakai. Saya masih menggunakan logo PKR dan bertanding di mana-mana kerusi yang ditawarkan PKR kepada saya".

Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Maria akan bertanding di kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan, yang kini disandang Hee Loy Sian, penyandang dua penggal di kawasan itu.

Tian Chua berkata, isu sama ada Maria adalah anggota PKR atau calon bebas tiak berbangkit ketika ini.

"Saya fikir kita tidak mahu masuk ke dalam semua istilah ini. Isu utama adalah kita mahu orang mengambil bahagian dalam pilihan raya untuk perubahan.

"Mari kita tumpu pada pilihan raya sekarang, yang mungkin akan diadakan dalam masa satu bulan atau sekurang-kurangnya satu setengah bulan lagi. Kita perlu fokus pada kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izah juga memberi jaminan bahawa setiap calon yang bertanding di bawah logo PKR akan tertakluk kepada prinsip parti.

Tags / Kata Kunci: Maria Chin , PKR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan