Babi Hutan Ceroboh Padang Permainan - Berita Semasa | mStar

Babi Hutan Ceroboh Padang Permainan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2018 9:36 AM

Khalijah (dua, kanan) bersama sebahagian penduduk menunjukkan kesan kerosakan di padang permainan berkenaan. Foto Sinar Online

(Ubah saiz teks)

IPOH: Penduduk Taman Seri Raia, Kampung Kepayang di sini memohon pihak berwajib menangani permasalahan dihadapi penduduk terutamanya melibatkan masalah pencerobohan babi hutan di padang permainan kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan permukaan padang itu menyebabkan pasukan bola sepak Taman Seri Raia (TSR) FC tidak lagi dapat menjalani latihan di situ, sekali gus tidak lagi menyertai saingan Liga Veteran Batu Gajah yang dianjurkan sejak 2013 lalu.

Seorang penduduk, Idris Daud, 65 berkata, penduduk taman berkenaan telah beberapa kali mengadu kepada pihak berwajib.

Bagaimanapun, katanya, tindakan yang dilakukan hanya sekerat jalan dan mengakibatkan babi berkenaan tetap datang ke kawasan berkenaan pada waktu malam.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi penduduk, Mohd Zahari Md Ariffin, 43, mengharap pihak berwajib dapat menyegerakan kerja membaiki permukaan padang di kawasan berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Khalijah Khalid, 52, pula turut mengesyorkan agar selain membina pagar, pihak berwajib juga boleh menggali parit yang agak dalam serta lebar di sekitar kawasan berkenaan bagi menghalang kemasukan babi berkenaan.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Gopeng, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali berkata, masalah berkenaan berlanjutan sejak lima tahun lalu.

“Kalau lihat kesan yang ada di padang, memang jelas tidak ada tindakan yang buat. Lebih malang, keadaan padang sedemikian menyebabkan pasukan bola sepak TSR FC tidak dapat lagi beraski atau menjalani latihan,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, pihaknya telah menerima aduan penduduk berhubung perkara berkenaan dan beberapa tindakan telah dilaksanakan bagi memastikan perkara berkenaan dapat diatasi.

Katanya, pihak MDBG juga telah merujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menjalankan operasi secara bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan penduduk di dalam kawasan taman. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: babi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan