“Dia Ada Beritahu Hasrat Untuk Berenang Tapi Saya Larang…” - Berita Semasa | mStar

“Dia Ada Beritahu Hasrat Untuk Berenang Tapi Saya Larang…”

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 8:50 AM

Sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, dekat Muar, pagi Rabu. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

MUAR: Berdoa dan berharap, itu antara luahan waris kepada Mohd Akashah Azizan yang merupakan seorang daripada mangsa dalam kejadian kapal korek pasir yang terbalik di Perairan 12 Batu Barat, Tanjung Tohor, di sini, pagi Rabu.

Abang sepupu mangsa, Azizul Ab Rahman, 35, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui WhatsApp ahli keluarganya pada 10.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi Pos Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat di Parit Jawa, di sini.

“Saya bekerja di Batu Pahat, jadi bila dapat makluman tu saya terus bergegas ke sini sebab saya ahli keluarga yang paling dekat, keluarga mangsa pula ketika kejadian, berada di Changlun, Kedah.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ada bagi penerangan pasal situasi terkini jadi sekarang kami cuma boleh berdoa dan berharap untuk yang terbaik dan mudah-mudahan semuanya selamat,” katanya kepada pemberita, di sini, Rabu malam.

Menurutnya, mangsa yang berusia 25 tahun itu memang meminati bidang perkapalan dan telah bekerja lebih dua tahun dalam bidang itu.

Azizul yang sebelum ini pernah bekerja di Bernama TV,  juga mempunyai pengalaman bekerja di bahagian perkapalan sebuah syarikat minyak dan gas negara.

“Dia (Mohd Akashah) pernah beritahu hasrat untuk menjadi kru kapal dan kebetulan saya juga pernah mempunyai pengalaman berada di atas kapal, menasihati dia untuk memilih syarikat yang baik dan menjaga kebajikan pekerja.

“Kali terakhir kami berhubung pada 8 Mac (Khamis) lalu menerusi Facebook dan ketika itu dia ada beritahu hasrat untuk berenang tetapi saya larang sebab tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurut Azizul lagi, anak keempat daripada enam beradik itu juga merupakan seorang yang periang dan sangat mesra dengan ahli keluarga yang lain.

“Kalau nak kata tak risau memang tipu sebab ahli keluarga sendiri, apatah lagi saya anggota keluarga yang paling dekat di sini dan keluarga yang lain semua menunggu maklumat saya.

“Anggota keluarga yang lain sedang dalam perjalanan ke sini, saya cuma boleh beri kata-kata semangat dan tawakal semoga semuanya selamat,” kata abang sepupu mangsa itu.

Dalam kejadian berkenaan, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Batu Pahat menerima panggilan pada 8.50 pagi mengenai kejadian kapal korek pasir yang terbalik di perairan Parit Jawa, di sini.

Seramai 18 kru kapal dilaporkan terlibat dengan 14 masih hilang, manakala tiga terselamat dan seorang ditemukan lemas. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan