'Annabelle' Kumpul Duit Sendiri Demi Beg Sekolah Idaman - Berita Semasa | mStar

'Annabelle' Kumpul Duit Sendiri Demi Beg Sekolah Idaman

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 10:14 PM

Rosabelle Xavier lebih gemar menggayakan 'cosplay' yang seram berbanding anak patung comel yang lain.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tatkala kanak-kanak lain bermain dengan anak patung yang comel seperti teddybear dan Barbie, seorang budak perempuan di Kota Kinabalu rela wajahnya 'diconteng' menjadi anak patung Annabelle.

Rosabelle Xavier Roni (Belle) yang berusia tujuh tahun itu dipakaikan dengan sepasang gaun putih, rambut perang yang ditocang, bibir dan pipi disolek merah menyala serta alis mata yang 'menakutkan' oleh ibunya, Stacy Yong, atas keinginannya sendiri demi satu sebab!

Segalanya bermula apabila Stacy, pada 14 Mac memuat naik posting mengenai keinginan pelajar darjah satu itu untuk memiliki beg sekolah baharu bagi menggantikan beg sekolahnya yang telah koyak.

Menurut posting itu, sedikit menyedihkan apabila setelah membuat tinjauan di kedai, dia mendapati harga beg itu agak mahal, menyebabkan dia membuat keputusan untuk membelinya selepas suaminya mendapat gaji pada hujung bulan ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu dalam postingnya yang tular menyatakan rasa terharu apabila Belle, selepas pulang ke rumah menyatakan idea untuk mengumpul wang dalam satu acara jualan terbuka yang disertai mereka dalam masa terdekat dengan menjadi patung Annabelle demi beg sekolah berharga RM159.90.

Pada acara gerai niaga Hari Terbuka Politeknik sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu yang bermula 17 hingga 23 Mac ini, pengunjung yang mahu bergambar atau berswafoto dengan Annabelle perlu membayar sebanyak RM2.

Belle bergambar bersama beg idamannya. - Facebook Stacy Yong

"Tapi, memandangkan beg yang baru dibeli masa awal persekolahan itu sudah koyak, Belle mahu gantikan yang baharu dan mahu membeli menggunakan duitnya sendiri.

"Tidak sangka ramai yang datang untuk bergambar dengan Belle selepas posting itu tular. Tidak sampai dua hari sudah cukup wang yang dikumpulnya," kata Stacy kepada mStar Online, Khamis.

Setakat ini, Belle sudah berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM370 daripada 'khidmat' yang ditawarkannya dan kos bagi menghasilkan kostum itu pula cuma bernilai RM5 kerana dia membelinya di kedai pakaian terpakai.

Stacy berkata ini bukanlah kali pertama Belle menjadi Annabelle dan mengenakan bayaran sebanyak RM2 untuk bergambar dengannya, tetapi hanya dapat mengumpul sebanyak RM86.

Malah anaknya itu juga pernah mendapat tempat kedua daripada lebih 700 peserta dalam satu pertandingan Halloween pada Oktober tahun lalu.

Walaupun gembira dengan sikap anaknya dan hasratnya telah tercapai, tetapi Stacy tidak terlepas daripada kecaman netizen.

Enggan mengeruhkan keadaan, jurusolek sambilan yang menetap di Kota Kinabalu itu bagaimanapun mengambil pendekatan untuk kekal positif dengan kecaman yang diterimanya.

Terdapat segelintir netizen yang mempersoalkan tindakannya sebagai seorang ibu kerana mengenakan solekan pada wajah anaknya yang masih kecil kerana dikhuatiri membahayakan kulit kanak-kanak itu.

"Saya telah melakukan persediaan kulit seperti minyak organik agar kulitnya tidak kering dan menggunakan cat muka yang biasa digunakan untuk parti kanak-kanak. Bahan yang digunakan adalah 100 peratus selamat untuk kanak-kanak.

"Saya fikir, tidak perlu saya balas kecaman dengan komen yang negatif pada posting itu kerana ia hanya akan memburukkan keadaan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Annabelle
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan