“Pergi Pasar Malam, Alamanda, Tengok Wayang, Kemudian Tak Angkat Telefon!” - Berita Semasa | mStar

“Pergi Pasar Malam, Alamanda, Tengok Wayang, Kemudian Tak Angkat Telefon!”

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 2:07 PM

Wan Muhammad Muizzudin dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Adik cakap pergi tengok wayang, tapi jiran nampak dia pandu kereta menghala ke Johor," kata abang kepada seorang pelajar institusi swasta yang hilang sejak Jumaat lalu.

Wan Muhammad Khalis Wan Mohd Khalid, 22, ketika dihubungi berkata, adiknya Wan Muhammad Muizzudin, 19, tidak pulang sejak keluar dari rumah tanpa ditemani sesiapa pada pukul 10 pagi hari tersebut.

"Kami semua bimbang dia terlibat dalam kemalangan atau mengalami sebarang musibah kerana gagal menghubungi telefon bimbitnya.

"Pada hari kejadian, ibu saya ada menghubunginya beberapa kali untuk mengetahui tentang lokasinya," katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Menurut Wan Muhammad Khalis, adiknya memberitahu dia berada di pasar malam pada pukul 6.30 petang, di pusat beli-belah Alamanda pada pukul 7.40 malam dan menonton wayang pada pukul 12 tengah malam.

Bagaimanapun, panggilan tidak diangkat ketika ibunya cuba menghubungi pelajar kursus asas (foundation) jurusan kewangan itu sekitar pukul 2 pagi.

Wan Muhammad Muizzudin (kanan) bersama seorang rakan dan adiknya.

"Pelik bila dia cakap kepada ibu dia pergi tengok wayang sebab jiran saya yang amat mengenali kereta keluarga terlihat dia memandu kereta itu menghala ke Johor.

"Ketika itu jiran saya nampak dia di Pagoh sekitar pukul 8.30 malam, Jumaat," jelasnya.

Difahamkan, mereka sekeluarga turut memeriksa dengan pihak pengurusan tentang kehadiran pelajar IPTS itu di Alamanda, namun disahkan bahawa Wan Muhammad Muizzudin tidak mengunjungi pusat beli-belah tersebut.

Wan Muhammad Khalis memuat naik mengenai berita kehilangan adiknya itu di Instagram pada pagi Rabu sebagai ikhtiar untuk mencari remaja tersebut.

Ujar pemuda yang menetap bersama keluarga di Putrajaya itu, adiknya merupakan seorang anak yang mendengar kata dan tidak mempunyai masalah dengan keluarga.

Mereka juga tidak mempunyai kenalan atau saudara mara di Johor dan tidak pasti tentang tujuan adiknya ke negeri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan tentang laporan polis berhubung kehilangan remaja berkenaan.

"Laporan dibuat pada Sabtu lalu dan kertas siasatan juga telah dibuka, termasuk hebahan mengenai kehilangan remaja tersebut.

"Kami percaya bahawa dia masih berada di dalam negara, cuma kenderaan yang dinaikinya masih belum dapat dijejaki," kata beliau.

Tambah Rosly, pihaknya mengalu-alukan orang ramai tampil memberi maklumat tentang remaja itu bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: remaja hilang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan