80 Pendaki Bisu, Pekak Tawan Tiga Gunung - Berita Semasa | mStar

80 Pendaki Bisu, Pekak Tawan Tiga Gunung

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 8:25 AM

Antara peserta yang mengikuti ekspedisi tersebut. - Sinar Harian

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik mungkin menjadi masalah besar sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di tengah hutan tetapi ia tidak menghalang seramai kira-kira 80 pendaki pekak dan bisu untuk menyertai misi menawan puncak gunung Chemerong, Berembun dan Langsir.

Bagaimanapun, semangat yang membara dan persediaan rapi dilakukan membantu kumpulan itu menyempurnakan cabaran dengan baik.

Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Terengganu (POPT), Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, ekspedisi kali ini disertai peserta dari seluruh Malaysia.

"Ini bukan pendakian kali pertama kerana pada tahun 2015 kami telah melaksanakan misi sama.

"Bagaimanapun ketika itu peserta kurang daripada 20 orang tetapi kali ini sambutan amat menggalakkan termasuk ahli persatuan orang pekak dari Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan pelbagai lagi tempat.

"Cabaran paling utama buat kami ialah kesukaran untuk berkomunikasi dengan malim gunung dan sesama sendiri sekiranya berlaku kejadian sesat atau kecemasan lain,"katanya kepada pemberita menerusi penterjemah ketika pelepasan ekspedisi tersebut.

Menurutnya, bagi mengelak musibah ketika pendakian, semua peserta disediakan visel untuk dimanfaatkan ketika kecemasan.

"Memang kami risau kerana pernah berlaku kes pendaki sesat, apatah lagi bagi kami yang sukar untuk berkomunikasi.

"Oleh itu, setiap peserta disediakan visel supaya malim gunung boleh segera bertindak sekiranya timbul masalah," katanya.

Manakala, peserta, Philips Pong, 52 berkata, dia bersama rakan-rakan begitu teruja untuk merasai pengalaman menarik dan ia bukan halangan walaupun mereka mempunyai kekurangan.

"Tiada yang mustahil dan bukan sahaja pengalaman menarik dapat ditimba tetapi kami dapat perkenalkan lokasi menarik ini kepada orang luar.

"Tempat ini satu produk pelancongan yang cantik dan menerusi aktiviti ini dapat meluaskan lagi promosi di seluruh Malaysia," katanya. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: OKU , gunung
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan