Perkhidmatan E-Hailing Akan Diwartakan Suku Kedua 2018 - Berita Semasa | mStar

Perkhidmatan E-Hailing Akan Diwartakan Suku Kedua 2018

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Undang-undang mengenai perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar akan diwartakan pada suku kedua tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkhidmatan itu berada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 2017 yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai tahun lepas.

Beliau berkata buat masa ini, kementerian perlu mengkaji beberapa perkara seperti tambang, pemeriksaan Puspakom dan pembahagian kuasa antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum e-hailing dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Hanya selepas aspek-aspek ini telah dipertimbangkan, akta-akta itu secara rasmi diwartakan pada suku kedua," katanya selepas menyampaikan surat kelulusan bagi permit teksi individu kepada pemandu teksi di sini.

Turut hadir ialah pengerusi SPAD, Tan Sri Isa Samad.

Terdahulu, seramai 300 pemandu teksi menerima lesen individu mereka daripada SPAD menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Nancy berkata seramai 74 pemandu juga menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu.

"Pemberian itu adalah sebahagian daripada RM150 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan bagi pemegang lesen yang layak," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: e-hailing , uber , grabcar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan