Pok Ya Duda Anak 4 Sebenarnya Waras Semasa Dilondeh Seluar - Berita Semasa | mStar

Pok Ya Duda Anak 4 Sebenarnya Waras Semasa Dilondeh Seluar

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2018 7:36 AM

Pok Ya menjadi mangsa buli sekumpulan lelaki dan perempuan di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan sekumpulan lelaki dan wanita membuli dan memalukan orang kelainan upaya (OKU) yang dikenali sebagai Pok Ya dengan menanggalkan seluarnya telah membangkitkan kemarahan netizen. 

Tular video di media sosial, menunjukkan mangsa berdiri dengan tangan diikat di bahagian belakang, menjerit kesakitan apabila punggungnya dicucuh api menggunakan pemetik api. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pok Ya Jadi Mangsa Buli, Dua Suspek Diburu Polis

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan terhadap Pok Ya dalam kejadian di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada awal pagi Ahad lalu adalah kejam terutama mangsa yang dipercayai mengalami masalah kecacatan mental.

Paparan skrin video Pok Ya dibuli.

Jurupulih Perubatan Carakerja Hospital Hulu Terengganu, Muhamad Faiq Muizzuddin Zainal Abidin mendedahkan Pok Ya adalah pesakit mental di bawah pemantauan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (PKMM) Wakaf Tapai di Marang, Terengganu sejak kira-kira lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhamad Faiq yang mengendalikan bahagian rehabilitasi pesakit memberitahu, Pok Ya yang merupakan seorang duda empat anak berusia 47 tahun berada dalam keadaan stabil dan waras ketika kejadian pada Ahad itu.

“Pok Ya adalah OKU yang mengalami masalah mental, tetapi dia sebenarnya dalam keadaan stabil dan waras ketika kejadian menjadi mangsa buli. 

“Memang Pok Ya pesakit mental, tetapi dia bukan sakit mental sepanjang masa. Dia berfikir seperti orang lain, makan dan minum juga seperi orang normal, malah dia juga bekerja,” katanya kepada mStar Online.

Muhammad Faiq berkata, beliau hadir ke Balai Polis Daerah Kuala Terengganu pada lewat petang Isnin bagi menemani ahli keluarga Pok Ya untuk membuat laporan polis berhubung kejadian termasuk penyebaran video yang mengaibkan mangsa.

Laporan polis yang dibuat Pok Ya berhubung kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mStar Online mengesahkan laporan kedua berhubung insiden sama, susulan laporan yang dibuat mangsa pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian pukul 4 pagi Ahad, kemaluan Pok Ya turut dikatakan ditabur debu oleh salah seorang ahli kumpulan itu.

Muhamad Faiq berkata, Pok Ya diberikan ubat dan suntikan secara berkala, dan kali terakhir rawatan diberikan kira-kira dua minggu lalu.

Walaupun di bawah pemantauan sebagai OKU mental, namun beliau berkata, ia bukan alasan untuk Pok Ya menjadi mangsa perbuatan khianat.

“Sama ada Pok Ya sakit mental atau normal, ia bukan sebab untuk mereka yang tidak berperikemanusiaan membuli dia. Pok Ya juga seorang manusia ada hati dan perasaan.

“Sehubungan itu, laporan polis yang dibuat dengan harapan tindakan diambil terhadap individu-individu yang menganiaya Pok Ya dan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kepada sesiapa pada masa akan datang,” ujar Muhamad Faiq.

Gambar dua suspek remaja perempuan yang didakwa terlibat dalam kejadian membuli Pok Ya, tular di media sosial.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan dua suspek remaja perempuan masing-masing berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi berkata, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Kuala Terengganu pada pagi Selasa.

“Kita percaya terdapat beberapa suspek lagi yang turut terlibat sebagaimana dalam insiden menerusi video yang tular. 

“Kita sedang menjejaki dua suspek lelaki yang didakwa mencucuh api pada punggung dan menabur pasir pada kemaluan mangsa,” katanya sambil menambah bahawa polis masih menyiasat motif kejadian.

Tags / Kata Kunci: Pok Ya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan