Pok Ya Jadi Mangsa Buli, Dua Suspek Diburu Polis - Berita Semasa | mStar

Pok Ya Jadi Mangsa Buli, Dua Suspek Diburu Polis

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2018 7:29 PM

Video mengenai mangsa yang dikenali sebagai Pok Ya menjadi mangsa buli sekumpulan individu tular di media sosial pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Punggung dicucuh api menggunakan pemetik api, begitulah nasib malang yang dialami seorang lelaki yang menjadi mangsa buli sekumpulan lelaki dan wanita, menerusi satu video yang tular di media sosial pada Isnin.

Menerusi video berdurasi sembilan saat itu, mangsa yang dipercayai kurang siuman berdiri dengan keadaan tangannya diikat di bahagian belakang dan tidak memakai seluar.

Malahan, dalam kejadian yang berlaku di di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, kemaluan mangsa yang dikenali sebagai Pok Ya itu dikatakan telah ditabur pasir oleh salah seorang daripada ahli kumpulan itu.

Suara seorang wanita yang dipercayai individu yang merakamkan kejadian itu turut kedengaran sebelum Pok Ya menjerit akibat dilakukan sesuatu pada bahagian punggungnya oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mStar Online mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi Ahad.

Beliau memberitahu, dua suspek wanita yang merupakan perakam video dan rakannya, masing-masing berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita percaya terdapat beberapa suspek lagi yang turut terlibat sebagaimana dalam insiden menerusi video yang tular. 

“Kita sedang menjejaki dua suspek lelaki yang didakwa mencucuh api pada punggung dan menabur pasir pada kemaluan mangsa,” katanya.

Beliau menambah, dua suspek remaja perempuan akan direman di Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.

Idris berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta orang ramai atau saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

“Kita masih menjalankan siasatan dan sedang menunggu laporan perubatan mengenai mangsa,” katanya. 

Tags / Kata Kunci: Pok Ya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan