"Aku Takkan Tukar Haiwan Selain Ular, Sampai Aku Pejam Mata" - Berita Semasa | mStar

"Aku Takkan Tukar Haiwan Selain Ular, Sampai Aku Pejam Mata"

Diterbitkan: Sabtu, 17 Mac 2018 12:52 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Wira Penyelamat Abu Zarin Hussin telah pergi buat selama-lamanya dan tragedi yang menimpanya ternyata memberi kesan mendalam buat rakan karibnya, Fahmy Ramli.

Menurut pemuda berusia 33 tahun ini, walaupun tempoh persahabatan mereka masih lagi baharu iaitu kira-kira lima tahun, namun baginya Abu Zarin seorang yang sangat istimewa.

"Hubungan kami dah seperti adik beradik. Jarang berjumpa namun kami selalu berhubung.

"Pertama kali kami berjumpa ketika arwah datang ke Kluang untuk mengambil ular tedung selar di balai bomba di sini. Selepas itu kami selalu berhubung dan berkongsi cerita," jelas Fahmi yang sebaya dengan Allahyarham Abu Zarin kepada mStar Online.

Menurut anggota polis yang bertugas di Johor ini, hubungan persahabatan mereka semakin rapat apabila bersama-sama mencuba nasib menyertai Asia Got Talent tahun lalu.

Fahmy (kanan) bersama Abu Zarin ketika menyertai Asia Got Talent tahun lalu.

"Saya tahu dia menyertai program itu bukan untuk mencari populariti tetapi bagi membantu ibu bapanya.

"Dia ada cakap, kalau menang dia mahu bina rumah baharu untuk ibu bapanya. Namun kami tersingkir di peringkat suku akhir.

"Di situ saya boleh nampak kekecewaannya dan dia berjanji akan sertai lagi tahun ini.

"Dalam status Facebooknya sebelum ini, arwah ada beritahu, "kalau dia sudah tidak ada lagi, dia mahu saya masuk program itu tahun ini."

"InsyaAllah, kalau ada rakan yang sesuai, saya akan tunaikan permintaannya itu,"ujar Fahmy yang tidak dapat mengawal emosi sedihnya.

Dengan nada sebak, Fahmy mengakui sukar mencari sahabat sebaik arwah kerana keperibadiannya yang begitu disenangi ramai.

"Anda tidak akan jumpa orang sebaik dia selepas ini. Dia seorang yang tak 'reti' nak marah orang walaupun masanya diganggu dengan perkara yang 'simple'.

"Malah minatnya dengan ular tedung selar ini memang tidak boleh dinafikan lagi kerana dia sanggup ke mana sahaja dengan duit poketnya sendiri semata-mata untuk menangkap haiwan itu.

"Saya selalu juga menasihatinya supaya berjaga-jaga dan mengajaknya untuk tukar hobi, namun katanya "aku takkan tukar haiwan lain selain ular. Sampai aku pejam mata".

"Kelebihannya adalah menguruskan ular, tetapi saya nampak dia jenis yang suka  semua jenis haiwan.

"Dia pernah ada bela musang yang dinamakan  'Wira' namun mati dilanggar. Selepas itu dia bela lagi sepasang dan salah satunya musang betina dia namakan 'Tiz Zakiah'," ujar Fahmy yang mengakui Abu Zarin seorang yang suka bergurau.

Menceritakan lebih lanjut mengenai persahabatan mereka, kata Fahmy, beliau terkilan kerana hasrat untuk melihat Abu Zarin menjadi pengapitnya pada hari bersejarah buat dirinya pada November ini tidak kesampaian.

"Saya ajak dia jadi pengapit untuk majlis perkahwinan saya nanti di Pulau Pinang.

"Dia memang teruja kerana katanya kat Penang banyak ular tedung selar yang cantik-cantik.

"Namun semuanya tidak kesampaian. Malah tidak sempat berjumpa buat kali terakhir dengannya.

"Tapi sebelum dia dipatuk ular (12 Mac), kami sempat 'WhatsApp' lebih kurang 11 pagi selepas saya 'reply' statusnya agak sedih. 

"Dan dia ada cakap nak pergi tangkap ular, tapi sebelah malam, saya dapat tahu dia kena patuk ular dan dimasukkan ke hospital sebelum dapat berita dia dah meninggal dunia pagi semalam (Jumaat)," jelasnya Fahmy sayu.

Abu Zarin dipatuk ular tedung selar pada pukul 7.54 malam ketika operasi di Bentong pada 12 Mac lalu dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Dia meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 pagi Jumaat selepas koma selama tiga hari.

Abu Zarin bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota bomba dan pernah berkhidmat di Balai Bomba Muadzam Shah, Pekan dan kini di Temerloh.

Tags / Kata Kunci: Fahmy Ramly , Wira Penyelamat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan