Rakyat Malaysia Tahu Risiko, Tetapi Tetap Nak Ke Korea Selatan - Ejen - Berita Semasa | mStar

Rakyat Malaysia Tahu Risiko, Tetapi Tetap Nak Ke Korea Selatan - Ejen

Diterbitkan: Rabu, 14 Mac 2018 7:30 AM

Wartawan mStar Online menemubual seorang ejen pekerjaan ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF (LAPORAN KHAS 3)

KUALA LUMPUR: Status buruh haram tidak dilihat sebagai penghalang atau masalah besar untuk rakyat Malaysia yang berhasrat bekerja di Korea Selatan.

Malahan, tawaran kerja dengan gaji lumayan yang dibuat secara terbuka dan 'bersepah' dalam talian oleh puluhan ejen tempatan berjaya membuatkan mereka teruja dan ghairah untuk terbang ke negara K-Pop itu.

Dengan tawaran gaji sekitar RM6,000 hingga RM12,000 sebulan, tidak hairanlah status buruh haram diabaikan, sekali gus mereka terlupa akan risiko yang menanti di sana.

Peluang pekerjaan yang diiklankan termasuk di kilang kimchi, kosmetik, kalendar, perabot, alat ganti kereta, kotak, aluminium dan memungut rumpai laut, selain di ladang bawang serta kobis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, Rakyat Malaysia Bergelar Buruh Haram, Gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Enam Kelompok Pati Malaysia Di Korea Selatan

Akibatnya, ramai rakyat Malaysia terpaksa 'gigit jari' apabila gaji lima angka yang diimpikan  hanya tinggal mimpi, malah ada juga yang tersadai di sana sebagai gelandangan dan lebih menyedihkan cacat kerana terbabit dalam kemalangan di tempat kerja.

Tiada taklimat dan kelengkapan keselamatan diberikan antara punca rakyat Malaysia terdedah kepada kemalangan di tempat kerja di Korea Selatan. 

Apa Kata Ejen

Situasi ini didedahkan beberapa ejen yang aktif membawa rakyat tempatan untuk bekerja di Korea Selatan bermula 2016.

Laris bak 'goreng pisang panas', seorang ejen mendedahkan kepada mStar Online, hampir 800 rakyat Malaysia menggunakan khidmatnya untuk mencari rezeki di negara k-pop itu pada 2017.

Hanya mahu dikenali sebagai Nasir (bukan nama sebenar), ejen ini mengakui mengenakan bayaran sebanyak RM2,800 seorang bagi menguruskan proses mendapatkan pekerjaan termasuk tiket penerbangan pergi dan balik, termasuk caj yang perlu dibayar kepada agensi pekerjaan di Korea Selatan.

Angka ini dilihat sepadan dengan laporan Korea Herald, bahawa seramai 251,000 pekerja asing tanpa izin (Pati) dari pelbagai negara bekerja di negara itu.

Bagaimanapun, kumpulan ini terdedah kepada risiko keselamatan di tempat kerja dan kemungkinan ditipu atau menjadi mangsa manipulasi majikan, disebabkan status imigresen mereka.

Sumber-sumber dalam kalangan ejen yang berpengalaman menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Korea Selatan serta sukarelawan di Seoul menganggarkan kira-kira 5,000 daripada jumlah keseluruhan Pati adalah rakyat negara ini.

Seorang lagi ejen, Taufik (bukan nama sebenar) mendakwa terdapat kira-kira 20 ejen yang diketahuinya bertanggungjawab dalam menguruskan proses tersebut dan dia sendiri telah membawa  hampir 100 rakyat Malaysia ke negara itu sejak 2016.

Bagaimanapun katanya, tidak semua ejen bertanggungjawab sepenuhnya ke atas 'pelanggan' mereka, malah ada yang langsung tidak memaklumkan mengenai risiko.

Sedar akan bahaya yang mungkin perlu didepani pelanggannya, Taufik mendakwa dia mengambil sikap telus dan menjelaskan risiko yang bakal ditanggung jika masih mahu menerima tawaran kerja di Korea Selatan.

Para ejen aktif menggunakan laman Facebook untuk memancing rakyat Malaysia mencari pekerjaan di negara K-Pop itu.

Namun, dedah Taufik, dia sendiri terkejut apabila maklumat mengenai risiko yang disampaikan tidak mengubah fikiran pelanggannya untuk merantau ke negara itu yang dilaporkan mempunyai pendapatan isi rumah tertinggi di Asia.

"Ada ejen bagi maklumat tak jelas, tetapi saya akan ceritakan situasi sebenar dan meminta mereka supaya fikir masak-masak sebelum berangkat ke sana dan antara perkara penting adalah jiwa kena kental.

"Ia sekadar kerja sampingan saya kerana ada perniagaan sendiri. Saya tak harapkan duit mereka," katanya ketika dihubungi.

Dakwa Taufik, dia hanya mengambil upah sebanyak RM500 ke RM600 daripada harga pakej bernilai RM2,500 yang ditawarkan kepada pelanggannya.

Kaut Untung

Berdasaran pemantauan dan maklumat yang dikumpul, anggaran pendapatan seorang ejen pekerjaan dianggarkan mencecah antara RM5,000 hingga RM15,000.

Bagaimanapun, jumlah itu dapat diperoleh jika ejen berkenaan mampu mencari seramai 10 ke 30 pelanggan untuk dibawa ke Korea Selatan bagi setiap perjalanan.

Bagi yang musykil bagaimana individu atau kumpulan ini berjaya melepasi sekatan imigresen Korea Selatan, seorang lagi ejen, Azhar mendedahkan taktik atau modus operandinya.

Azhar berkata, status pelancong sebenarnya sudah cukup untuk mereka melepasi pemeriksaan imigresen di sana, tetapi bagi mengelakkan aktiviti ini dihidu pihak berkuasa, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan tiket penerbangan pulang palsu kepada pelanggannya.

Harga pakej yang ditawarkan bernilai RM2,500 seorang termasuk tempahan penginapan semalam sebaik tiba di Korea Selatan, kad prabayar T-Money, tentatif perjalanan, caj urusan mendapatkan pekerjaan, penyediaan rumah dan pengangkutan ke tempat kerja.

Tags / Kata Kunci: Buruh Haram , Korea Selatan , Laporan Khas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan