BN Mahu Rampas Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak - Berita Semasa | mStar

BN Mahu Rampas Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2018 8:15 AM

Ahmad Zahid (tengah) bersama Tengku Adnan (dua, kiri) ketika gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya dan Dry Run P124-Bandar Tun Razak, Isnin malam. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setelah sembilan tahun dikuasai pembangkang, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau secara tegas mahu jentera setiap parti komponen di kawasan parlimen berkenaan  bekerjasama bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada BN.

“Sembilan tahun kita di dalam dakapan kesengsaraan, sembilan tahun kita dalam kepanasan, sembilan tahun kita dalam kehujanan, sembilan tahun kita di dalam penderitaan. 

"Inilah masanya kita rampas semula kerusi Bandar Tun Razak dan hadiahkannya kepada Barisan Nasional,” katanya pada Majlis Pelancaran  Jentera Pilhan Raya BN Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak di sini, Isnin malam.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, pemimpin komponen BN dan jentera parti. 

Ahmad Zahid berkata, kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan Ke-13 jangan diulangi dan beliau mahukan MCA dan Gerakan berusaha menarik semua pengundi Cina di parlimen ini untuk menyokong BN .

“MCA dan Gerakan tarik semua pengundi Cina untuk sokong BN sebab apa yang kita lakukan untuk orang Cina sama dengan apa yang kita lakukan untuk orang Melayu,” katanya sambil turut menyatakan keprihatinan kerajaan kepada kaum India.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM600,000 bagi menaik taraf kawasan Bandar Tun Razak termasuk menaik taraf dewan orang ramai, menukar tangki dan bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan dan infrastruktur pasar Alam Damai.  

Selain peruntukan itu, Ahmad Zahid turut mengarahkan Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon perumahan awam yang layak sebelum hujung April ini. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Bandar Tun Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan