TPM Umum Elaun Anggota, Pegawai APM Naik - Berita Semasa | mStar

TPM Umum Elaun Anggota, Pegawai APM Naik

Diterbitkan: Ahad, 11 Mac 2018 5:50 PM

Kenaikan elaun akan memberi manfaat kepada kira-kira 2.1 juta anggota dan pegawai APM di seluruh negara. - Gambar hiasan/ Bernama

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan elaun anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) masing-masing daripada RM6 kepada RM8 sejam dan RM7.80 kepada RM9 sejam.

Menurut beliau, kenaikan elaun yang memberi manfaat kepada kira-kira 2.1 juta anggota dan pegawai APM di seluruh negara itu adalah bagi menghargai jasa dan khidmat mereka dalam menghulurkan bantuan awal.

Jelas beliau, elaun uniform sebanyak RM10 juta turut akan diberikan pada tahun ini berbanding RM5 juta pada tahun lepas.

Beliau turut mengarahkan permohonan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perjawatan tetap dan kenaikan gred perjawatan tetap.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap pada perasmian program bersama warga Angkatan Pertahanan Awam Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini, Ahad. 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Mohd Zuki Ali.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, hanya kerajaan yang prihatin sahaja akan memberikan kepedulian, bukan hanya kementerian , jabatan dan agensi, malah badan kesukarelawanan turut diberikan kepedulian oleh kerajaan BN.

Ahmad Zahid tiba pada Program Bersama Warga Angkatan PertahananAwam (APM) Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, Ahad. - Bernama

“Tuan-tuan tak pernah minta tetapi kami tak perlu diminta kerana sekiranya perkara itu munasabah untuk diberikan sebagai penghargaan kepada semangat kesukarelawanan, tak perlu diminta (maka) kerajaan akan meluluskan,” katanya.

Justeru, beliau turut menyeru semua anggota dan pegawai APM memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada untuk kesinambungan kepimpinan terbaik untuk negara ini.

Sementara itu, seorang anggota APM Mohd Hairi Azmi Tham, 28, dari Kuala Kangsar melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan yang mengumumkan kenaikan elaun berkenaan.

Beliau yang berkhidmat sejak lima tahun lepas berkata kenaikan elaun itu memang dinanti-nantikan sejak dahulu lagi.

"Pengumuman elaun ini merupakan perkara yang kami tunggu kerana ia sedikit sebanyak mampu menaikkan semangat kesukarelawanan yang ketika ini dilihat semakin mencabar," katanya.

Bagi Nor Azlina Mohd Tahir, 37, staf muda APM Perak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin kerana dengan kenaikan elaun itu, ia memberi makna cukup besar kepada mereka yang berkhidmat dalam pasukan itu.

"Saya rasa bersyukur dengan kenaikan elaun ini kerana ia amat relevan dengan peranan APM pada ketika ini yang semakin mencabar ," katanya yang berkhidmat sejak 12 tahun lalu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: APM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan