Anak Patung Jahit Tangan Kembalikan Memori Zaman Kanak-Kanak - Berita Semasa | mStar

Anak Patung Jahit Tangan Kembalikan Memori Zaman Kanak-Kanak

Diterbitkan: Sabtu, 10 Mac 2018 5:02 PM

Halen menunjukkan beberapa koleksi anak patung buatannya di Women’s Fiesta, Starling Mall, Petaling Jaya

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Siapa yang tidak gembira jika dihadiahkan seekor anak patung beruang.

Malah, setiap daripada kita pastinya mempunyai memori indah tersendiri dengan si comel itu.

Dek kerana begitu meminati seni pembuatan kreatif, Helen Lee, 41, memiliki lebih 100 koleksi anak patung beruang  yang dijahit sendiri.

Bermula sebagai hobi, Helen berkongsi minatnya itu dengan menghadiahkan si comel itu kepada saudara-mara dan rakan-rakannya.

Pemilik Helen’s Handmade Bear yang berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang ini kemudiannya mengambil keputusan berhenti kerja selepas anak patung beruang buatannya itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Tidak seperti kebanyakan anak patung beruang yang boleh didapati di pusat beli-belah, Halen memiliki karekter anak patungnya tersendiri.

Halen bersama pelanngannya di Starling Mall, Petaling Jaya.

Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini akan membuat template dan rekaan anak patung baruangnya pada komputer sebelum kerja-kerja memotong dan menjahit fabrik dilakukan.

“Kebiasannya kerja-kerja memotong dan menjahit tepi fabrik akan dilakukan oleh beberapa pekerja saya.

“Saya pula akan mengambil alih tugas untuk menjahit bahagian kepala anak patung beruang itu kerana ia merupakan bahagian yang sangat rumit dan memerlukan kemahiran saya untuk menyiapkannya”, katanya ketika ditemui mStar Online pada Women’s Fiesta anjuran Kumpulan Media Star di Starling Mall, di sini pada Sabtu.

Tambahnya lagi, pelanggan juga boleh mereka anak patung beruang mereka dengan memilih sendiri corak dan fabrik yang mereka inginkan.

“Mereka (pelanggan) boleh mengukir nama pasangan / individu pada anak patung sebagai hadiah istimewa untuk yang tersayang”, katanya.

Halen memberitahu kebanyakan individu yang membeli anak patungnya terdiri daripada pelanggan tetapnya.

Koleksi anak patung buatan tangan Halen.

Halen turut berkongsi pengalaman memasuki rumah salah seorang pelanggan tetapnya yang memiliki lebih 300 koleksi anak patung buatannya.

“Tidak dapat digambarkan perasaan ketika melangkah masuk ke dalam rumah itu.

“Saya berasa amat bangga melihat lebih 300 koleksi anak patung buatan saya berada di dalam sebuah rumah iaitu pelanggan saya," katanya.

Halen sebelum ini merupakan seorang pereka grafik di sebuah syarikat di Pulau Pinang membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menjadikan perniagaan anak patung beruang ini sebagai punca pendapatan utamanya.

Harga anak patung mengikut saiz dan corak.

Menghasilkan lebih 4,000 anak patung beruang setahun, Halen kini bergelar usahawan atas talian dan berjaya mencipta nama dalam Malaysian Book of Records dengan menghasilkan anak patung beruang buatan tangan terbesar di Malaysia iaitu setinggi 9’2”.

Halen juga bakal mengadakan Pameran Solo ke-6 bertempat di Restoran Ferringhi Garden pada 25 Ogos sehingga 24 September ini bermula pukul 6 petang - 11 malam.

Terdahulu, Kumpulan Media Star menganjurkan Women’s Fiesta yang memasuki tahun ke-2 dengan mengangkat tema Women Do Wonders (WOW) sebagai meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac setiap tahun.

Dalam acara yang berlangsung meriah pada Sabtu dan Ahad itu menghimpunkan lebih 150 usahawan atas talian yang turut memberi fokus kepada usahawan wanita. 

Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan fesyen, turorial hijab, bengkel kemahiran, ceramah kesihatan, acara jalan kaki ‘WOW Walk’ dan persembahan selebriti tempatan seperti Harith Iskander, Kavita Sidhu, dan Mafarikha Asia Got Talent.

Tags / Kata Kunci: Helen’s Handmade Bear
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan