Anak Syukur Tunai Permintaan Terakhir Sanusi Junid - Berita Semasa | mStar

Anak Syukur Tunai Permintaan Terakhir Sanusi Junid

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2018 3:10 PM

Jenazah Sanusi Junid tiba di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Jumaat. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anak ketiga bekas Menteri Pertanian, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid tidak menyangka niat bapanya yang mahu makan tengah hari bersama keluarga minggu lepas menjadi permintaan terakhir sebelum bapanya itu meninggal dunia pagi Jumaat.

Amanda Ruhul Hamidah, 40, berkata, keadaan kesihatan bapanya itu baik sepanjang masa walaupun sudah lama mempunyai pelbagai penyakit termasuk sakit jantung.

"Minggu lepas bapa ada mengajak makan tengah hari dan kami sekeluarga sempat makan bersama.

"Pemergian arwah tidak dijangka kerana beliau juga baru melakukan pemeriksaan kesihatan dan kesihatannya baik," katanya ketika ditemui di Masjid Umar al-Khattab, Bukit Damansara pada Jumaat.

Beliau juga menyifatkan bapanya seorang yang penyayang selain mengutamakan anak-anak.

Allahyarham Sanusi meninggal dunia sebelum sempat menunaikan solat subuh di kediamannya di Pantai Dalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Nila Inangda Manyam Keumala dan tujuh anak.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak 1979 ketika menjadi anggota Pemuda UMNO Kubang Pasu.

"Antara sumbangan Allahyarham yang diingati ialah mewujudkan Taman Pertanian di Bukit Cahaya Seri Alam (Bukit Cerakah) ketika beliau menjadi Menteri Pertanian.

"Atas idea itu, ia menjadi 'universiti terbuka' pertama dalam negara kepada golongan penternak, peladang dan juga orang ramai mengenai ilmu bidang pertanian dan penternakan," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Sanusi merupakan seorang tokoh besar negara yang telah menyumbangkan khidmat dan baktinya dalam pembangunan negara terutamanya dalam bidang pertanian. 

“Ini merupakan satu kehilangan besar, Allahyarham banyak menyumbangkan idea-idea bernas terutama ketika menjadi menteri pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Allahyarham merupakan seorang sahabat yang setia, tetap pendirian dan komited dengan tugas yang diberikan.

"Ciri-ciri itu semua jelas ditonjolkan semasa Allahyarham memegang pelbagai jawatan termasuk Menteri Pertanian, Setiausaha Agung Umno dan Menteri Besar Kedah," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Sanusi Junid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan