Guru Matematik 11 Kali Rangkul Gelaran Qari Pahang - Berita Semasa | mStar

Guru Matematik 11 Kali Rangkul Gelaran Qari Pahang

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2018 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Guru matematik, Zul Hasyimi Mohamed Yunus bukan hanya arif dalam perihal berkaitan angka, namun turut dianugerahkan dengan kebolehan mengalunkan bacaan al-Quran.

Zul Hasyimi, 39, boleh dikatakan mencipta rekod tersendiri menerusi kemenangan 11 kali sebagai johan tilawah al-Quran Pahang, termasuk tahun 2018 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Khamis.

Selaku johan, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong itu membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi yang disampaikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Zul Hasyimi berkata beliau aktif menyertai pertandingan tilawah sejak tahun 2002 sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa selain telah 15 kali mewakili daerah Bentong ke pertandingan peringkat negeri.

"Walaupun telah banyak kali menyertai pertandingan wilayah, perasaan berdebar tetap ada. Begitu juga dengan pertandingan kali ini kerana saya mendengar bacaan peserta lain sangat hebat.

"Majoriti peserta tahun ini terdiri daripada lepasan universiti dari luar negara dan hafiz al-Quran menyebabkan saya berazam untuk melakukan yang terbaik dan tawakal," katanya semasa ditemui di sini, Khamis.

Zul Hasyimi menambah kejayaannya membuatkan beliau menggalas tanggungjawab lebih berat membawa nama Pahang ke pertandingan tilawah peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Katanya, walaupun sudah 10 kali mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran di pentas kebangsaan, beliau akan berlatih dengan lebih baik termasuk di bawah bimbingan Jabatan Agama Islam Pahang.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjunjung titah Pemangku Raja (Tengku Abdullah) yang mahu supaya wakil Pahang dapat menjadi johan pada tahun ini," katanya.

Zul Hasyimi yang juga bapa kepada lima orang anak juga pernah mewakili Malaysia di pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Moscow Rusia pada 2011, Kuwait (2017) selain dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam ( DMDI ) 2016.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Zul Hasyimi , Pahang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan