“Untuk Keluar Daripada Kemiskinan, Saya Perlu Tekun Belajar” - Berita Semasa | mStar

“Untuk Keluar Daripada Kemiskinan, Saya Perlu Tekun Belajar”

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2018 7:38 PM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Bapanya pekerja rencam yang meraih kira-kira RM1,000 sebulan dan ibunya pula suri rumah.

Namun, itu tidak menghalang Roland anak Mecal  untuk muncul antara pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.Dia antara 12 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart yang mencatatkan keputusan 4A dalam peperiksaan itu.

Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia selepas ini, Roland berkata dia ingin mengubah nasib keluarganya.

“Saya datang daripada keluarga miskin. Untuk keluar daripada kemiskinan ini, saya perlu belajar dengan tekun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima slip keputusan peperiksaan itu di sekolahnya di sini.

Pelajar aliran sastera itu yang mencatat keputusan  4A, 3B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia, berkata hanya menerusi kelayakan akademik yang bagus sahaja seseorang boleh berjaya dalam hidup.

Bagaimanapun, dia tidak mengetepikan keperluan untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum sebagai nilai tambah terhadap pencapaian akademik selain memastikan minda dan badan kekal sihat.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata  tip untuk berjaya dalam peperiksaan adalah mudah iaitu memberi tumpuan di dalam kelas, melakukan kerja rumah dan ulang kaji selain sentiasa melakukan latihan tambahan.

Ditanya pandangannya tentang lebih ramai pelajar perempuan yang memperoleh keputusan cemerlang dan memasuki universiti berbanding pelajar lelaki, Roland berkata sesiapapun boleh mencatat kejayaan dalam kehidupan jika bekerja keras.

Sementara itu, Roland berkata dia ingin melihat adik perempuannya yang sedang belajar dalam Tingkatan Satu di SMK St Elizabeth, menuruti langkahnya atau mencatat keputusan lebih baik lagi, demi masa depan keluarga mereka.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk membantunya mencatat keputusan yang baik, atau sekurang-kurangnya sebaik keputusan saya,” katanya.

SMK Sacred Heart mencatat Gred Purata Sekolah 3.35 iaitu terbaik dalam kalangan 24 sekolah menengah di Sarawak yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif  tidak lebih 2.80.

Sekolah itu antara 10 terbaik di negara ini yang menerima sijil daripada Majlis Peperiksaan Malaysia di Putrajaya hari ini.Seramai 135 pelajar sekolah itu menduduki STPM tahun lepas dengan 24 orang daripada mereka mencatatkan keputusan 4A, 23 orang memperoleh 3A dan 21 pelajar mencatat keputusan 2A.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Pelajar Cemerlang , STPM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan