MPK Larang Pasang Bendera Parti Sehingga PRU14 Diumum - Berita Semasa | mStar

MPK Larang Pasang Bendera Parti Sehingga PRU14 Diumum

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2018 5:51 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Khairin Nazry Karim mengingatkan parti-parti politik untuk tidak memasang bendera parti di tempat awam sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan  tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan.

Beliau berkata parti-parti politik yang ingkar  boleh dikenakan kompaun.

“Melalui pemantauan yang dibuat, MPK mendapati  ada pihak yang melanggar peraturan dengan memasang bendera parti (di tempat awam) dan telah mengarahkan pihak terbabit menurunkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini ketika diminta mengulas terdapat parti-parti politik di Perlis yang memasang dan menggantung bendera mereka di tempat-tempat awam khususnya di jalan-jalan di negeri ini walaupun SPR belum mengisytiharkan tarikh PRU14.

Menyentuh isu lain, Khairin Nazry berkata MPK menyasarkan kutipan hasil cukai taksiran tahun ini sebanyak RM18 juta berbanding RM14 juta pada tahun lepas.

Katanya sasaran lebih tinggi itu berikutan kempen yang dilaksanakan oleh agensi itu berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai di samping pertambahan premis perniagaan di negeri ini.

Khairin Nazry  berkata MPK membelanjakan kira-kira RM500,000 pada tahun lepas bagi membina laluan pejalan kaki di beberapa tempat termasuk tempat tumpuan pelancong di Padang Besar dan Kuala Perlis.

“Selain itu MPK turut menambah baik sistem tempat meletak kereta berpalang di Arked Niaga Padang Besar serta menurap semula kawasan tersebut yang disambut baik oleh orang ramai,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk sama-sama memelihara kemudahan awam memandangkan terdapat kemudahan yang disediakan termasuk pokok-pokok  bunga untuk memperindahkan pemandangan  dirosakkan.- Bernama

Tags / Kata Kunci: PRU14 , MPK , Bendera
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan