Australia Siasat Pengarah JSJ, Bukit Aman Kata Tiada Salah Laku - Berita Semasa | mStar

Australia Siasat Pengarah JSJ, Bukit Aman Kata Tiada Salah Laku

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2018 8:05 PM

Wan Ahmad Najmuddin Mohd. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bukit Aman memberitahu bahawa tiada salah laku yang ditemui dalam kes membabitkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata demikian berhubung kes Wan Ahmad Najmuddin, yang disiasat Polis Persekutuan Australia (AFP) sebagai penggubahan wang haram dan membeku akaun bank milik pengarah JSJ itu di Australia berjumlah A$320,000 (RM970,000).

Noor Rashid Ibrahim berkata, Bukit Aman menyedari perkara tersebut pada 2016 apabila ia dimaklumkan oleh AFP berhubung kes Wan Ahmad Najmuddin.

"Kita melakukan pemeriksaan dalaman kami sendiri dan mendapati jumlah itu diperolehi melalui jualan sebuah rumah di Shah Alam pada 2016.

"Berdasarkan siasatan kita sendiri, tidak ada kesalahan atau penyelewengan yang ditemui," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengenai isu pihak berkuasa Australia membeku akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin, Noor Rashid berkata, AFP mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Akhbar Sdyney Morning Herald melaporkan bahawa AFP telah membekukan akaun bank Wan Ahmad Najmuddin di Sydney berjumlah lebih A$320,000, disyaki terlibat dengan penggubahan wang haram atau hasil jenayah.

Akhbar Australia itu melaporkan Pengarah JSJ Bukit Aman itu membuka sebuah akaun 'Goal Saver' di Bank Commonwealth pada 2011, menyenaraikan alamatnya di Bankstown dan kemudiannya Glebe di Sydney.

Sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun tersebut selepas seminggu beliau membuat perjalanan ke Australia pada 2016.

Wan Ahmad Najmuddin tidak cuba mengambil semula wang berkenaan daripada pihak berkuasa Australia, dengan mengatakan bahawa tindakan mahkamah adalah terlalu mahal, tetapi menafikan sebarang salah laku.

Beliau turut dilaporkan memberitahu Fairfax Media bahawa beliau telah memberikan penjelasan dan jabatannya juga telah menulis surat kepada AFP.

Tambah Wan Ahmad Najmuddin, beliau telah meminta seorang teman rapat di Malaysia untuk memindahkan wang bagi membiayai pengajian ijazah anak perempuannya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan