Asrama SMK Tebedu Terbakar, Tindakan Pantas Sekolah Berjaya Kawal Api - Berita Semasa | mStar

Asrama SMK Tebedu Terbakar, Tindakan Pantas Sekolah Berjaya Kawal Api

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2018 11:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Empat belas pelajar lelaki terselamat selepas sebuah bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu di Serian kira-kira 100 kilometer dari sini terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.55 pagi, sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau sepasukan tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Bunan Gega turut membantu operasi itu.

“Bangunan asrama struktur kekal tiga tingkat tersebut menempatkan 286 orang murid, namun  kebakaran   hanya melibatkan sebuah bilik asrama lelaki di tingkat satu yang menempatkan 14 orang murid.

“Anggota yang tiba di lokasi mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak sekolah menggunakan 35 unit alat pemadam api dan satu saliran salur bantu mula dari bangunan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi Jumaat.

Beliau berkata anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak membuat pemadaman sisa-sisa kebakaran yang masih ada untuk mengelak api hidup semula.

“Kejadian tidak melibatkan kecederaan, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan,” katanya.--Bernama


Tags / Kata Kunci: Tebedu , Bunan Gega
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan