KPDNKK Sedia Bantu Kesan Warga Asing Salah Guna Permit - Berita Semasa | mStar

KPDNKK Sedia Bantu Kesan Warga Asing Salah Guna Permit

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2018 6:10 PM

Hamzah Zainudin.

(Ubah saiz teks)

BATU KURAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk membuat pemeriksaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan permit bagi menjalankan perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengesan premis perniagaan yang dipajak kepada peniaga warga asing oleh peniaga lain atau sebaliknya.

"Jabatan Imigresen boleh mengambil tindakan terhadap warga asing terbabit jika pemeriksaan mendapati mereka menyalahgunakan permit kerja untuk berniaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai di sin, Jumaat.

Baru-baru ini akhbar melaporkan, Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkilangan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap premis perniagaan tetapi warga asing terbabit mengaku mereka hanya pekerja di situ dan pemiliknya adalah orang lain.

"Pemeriksaan kita juga mendapati warga asing terbabit tidak mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ini kerana sesiapa sahaja rakyat Malaysia boleh mendaftar perniagaan syarikat dengan SSM," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memastikan tiada lesen perniagaan diberikan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan.

"Kita tidak mahu pembangkang menjadikan isu peniaga asing dan menuduh seolah-olah kita membiarkan warga asing berkeliaran," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: KPDNKK , Hamzah Zainudin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan