Jawi Perlu Kaji Tindakan Terhadap Neelofa - Berita Semasa | mStar

Jawi Perlu Kaji Tindakan Terhadap Neelofa

Diterbitkan: Rabu, 28 Februari 2018 8:16 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) perlu mengkaji tindakan yang wajar diambil terhadap personaliti dan juga usahawan, Neelofa yang melancarkan koleksi terbaru tudungnya di sebuah kelab malam.

Timbalan Setiausaha Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Ahmad Radzi Noor Mahadi berkata, pihak berkuasa agama perlu melihat perkara itu sebagai perkara yang jelas bercanggah dengan syarak.

"Melancarkan koleksi tudung dengan kelakuan jelas bercanggah syarak, dalam tempat yang sinonim dengan maksiat, ia menghina kemuliaan yang terkait kepada istilah hijab dan budaya bertudung.

"Hijab dan bertudung adalah sebahagian lambang ketakwaan seorang Islam, selari dengan perintah terkandung dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pihaknya juga merujuk kepada video pelancaran koleksi itu, di mana terdapat wanita berpakaian mendedahkan aurat walaupun bertudung dan melakukan tarian yang jelas bercanggah hukum syarak.

"Hal ini hendaklah diambil perhatian. Istilah hijab dan bertudung adalah sebahagian istilah dan syiar ketakwaan kepada ALLAH SWT," katanya.

Sementara itu, Pertama juga mengingatkan semua umat Islam untuk menjaga kemuliaan budaya dan istilah yang terkait kepada ketakwaan kepada ALLAH SWT.

"Jika kita umat Islam tidak dengan secara sedar menjaga kemuliaan Islam dan memastikan dengan penguatkuasaan yang berkesan, siapa lagi yang dapat kita harapkan," katanya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Neelofa , Jawi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan