"Saya Mak Andam Bidan Terjun Je" - Berita Semasa | mStar

"Saya Mak Andam Bidan Terjun Je"

Diterbitkan: Isnin, 26 Februari 2018 12:53 PM

Shida (kanan) menjelaskan dia hanyalah mak andam kepada adik angkatnya, Anje Manja Lara dan bukannya perampas suami orang. - Facebook

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gara-gara sekeping gambar, seorang 'mak andam' terpalit dengan tuduhan merampas suami wanita yang dianggap seperti adiknya sendiri.

Enggan menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen, wanita yang 'kehilangan' suaminya itu bertindak memuat naik posting baharu bagi menjelaskan keadaan sebenar.

"Gambar yang saya sertakan ini bukan perampas. Ini adalah kakak saya atau mak andam bidang terjun.

"Sayang kau, kak. Jangan sedih-sedih, kau tidak mengakibatkan aku bercerai ditinggalkan suami saat sarat mengandung dan kau bukanlah perampas," tulis Anje Manja Lara pada pagi Isnin.

Sebelum itu, postingnya yang dimuat naik pada petang Ahad tular apabila wanita itu mendakwa bahawa sahabatnya telah berkahwin dengan bekas suaminya ketika masih dalam tempoh edah.

Posting berkenaan menerima sebanyak 1,158 perkongsian dan lebih 1,500 tanda suka (like) sejak dimuat naik pada petang Ahad.

Anje Manja Lara memuat naik posting baharu bagi menjelaskan bahawa Shida bukanlah wanita yang didakwa merampas suaminya.

Salah faham timbul apabila wanita tersebut turut memuat naik gambar mak andam tersebut tanpa memberi keterangan pada bahagian gambar terbabit.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Shida Hakim itu berkata kepada mStar Online, dia hanyalah mangsa keadaan dan tiada kaitan dengan isu merampas suami wanita tersebut.

"Saya risau sebab gambar saya yang mula-mula dimuat naik pada posting berkenaan.

"Bagi sesetengah orang yang malas membaca, mereka akan fikir saya lah si perampasnya," katanya yang mengakui sedih dengan perkara tersebut.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, dia bersyukur kerana suami dan keluarganya memahami keadaan sebenar dan tidak menyalahkannya terhadap perkara yang berlaku.

Kiri: Status 'whatsapp story' wanita yang didakwa merampas suami Anje Manja Lara. Kanan: Wanita sama yang hadir pada majlis perkahwinan Anje Manja Lara dan suaminya kira-kira dua tahun lalu.

Tambah Shida, emosinya terganggu dengan situasi itu memandangkan anak perempuannya pula sedang sakit kerana denggi.

"Saya cuma mak andam bidan terjun yang tolong mintakan duit 'tol'.

"Banyak gambar pengantin diambil menggunakan telefon bimbit saya. Kesilapan timbul apabila dia tidak pudarkan wajah saya dalam posting itu," ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.

Istilah duit 'tol' biasa digunakan dalam adat masyarakat Johor sebelum rombongan pengantin lelaki ditemukan dengan pengantin perempuan pada upacara perkahwinan.

Shida bagaimanapun memberitahu, hubungannya dengan adik angkatnya itu masih baik seperti biasa dan tidak terjejas dengan salah faham yang berlaku.

Tags / Kata Kunci: rampas suami , mak andam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan