7.2 Juta Terima BR1M Mulai Isnin - Berita Semasa | mStar

7.2 Juta Terima BR1M Mulai Isnin

Diterbitkan: Sabtu, 24 Februari 2018 4:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan akan mula menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat mulai 26 Februari ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah menerangkan bahawa pembayaran tersebut akan dibuat secara tiga kali ansuran dengan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, Pahang pada esok (Ahad). Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dibuat menerusi akaun mereka,” katanya pada siang akhbar selepas majlis perasmian Program Bahtera 2018 (Edisi Timur) bertemakan ‘Bumiprenerus of Tomorrow’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir sama pada program berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional di Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri menyatakan, kira-kira tujuh juta penerima BR1M akan terus menikmati pemberian tunai oleh kerajaan dengan kadar maksimum sehingga RM1,200.

BR1M mula dilaksanakan pada 2012. Ketika ini, 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang menerima manfaat skim wang tunai berkenaan yang dianggap sebagai subsidi bersasar secara langsung kepada kumpulan berkelayakan.

Ia juga merupakan polisi pembayaran secara sekali untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah atau individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan mesti tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Peserta di bawah program e-Kasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut menerima BR1M. Bayaran dimasukkan terus ke akaun bank atau ditunaikan di mana-mana bank yang terpilih.

Tags / Kata Kunci: BR1M
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan