Teka-Teki Tarikh PRU14 Tetap Hangat Diperkatakan - Berita Semasa | mStar

Teka-Teki Tarikh PRU14 Tetap Hangat Diperkatakan

Diterbitkan: Isnin, 19 Februari 2018 12:01 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keterujaan mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nampaknya tidak pernah lekang sewaktu sambutan perayaan Tahun Baru Cina, malah dijangka terus hangat diperkatakan sehingga tibanya hari Chap Goh Meh.

Teka-teki mengenai tarikh sebenar PRU14 terus dibicarakan sebagaimana pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang berterusan melakukan kempen di seluruh negara.

Malah, pengumuman pembubaran parlimen dijangka diumumkan pada bila-bila masa sahaja.

Dalam ura-ura yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu bertanding di kerusi Parlimen Langkawi, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berangkat ke pulau itu sejurus menghadiri acara rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA dan Gerakan di Kuala Lumpur.

Najib berada di sana selama dua hari untuk bertemu rakyat sebelum mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk projek baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Dalam pada itu, Mahathir menjelajah ke seluruh negara sebelum dimasukkan ke hospital pada 9 Februari lalu gara-gara jangkitan dada.

Pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun dibenarkan keluar enam hari kemudian dan dijangka memulakan semula kempennya tidak lama lagi.

Pada 24 Jun ini, tempoh lima tahun parlimen akan tamat dan pilihan raya mesti didadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia dibubarkan.

Beberapa tarikh sambutan penting rakyat di negara ini memberi petunjuk bila sebenarnya 14.8 juta rakyat Malaysia dapat turun mengundi.

Chap Goh Meh akan disambut pada pada 2 Mac, manakala Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada 17 Mei dan 15 Jun ini.

Rekod menunjukkan tempoh biasa antara pembubaran parlimen dan hari pengundian mengambil masa selama 29 hari.

Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut amalan biasa mereka, ini merupakan jangkaan tarikh PRU14.

Parlimen dijangka dibubarkan antara Mac sehingga pertengahan April dan hari pengundian akan berlangsung pada pertengahan Mei sebelum bermulanya Ramadan.

Jangkaan kedua ialah pengundian akan berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ini bermakna parlimen akan dibubarkan antara pertengahan Mei sehingga 24 Jun, dan pengundian berlangsung pada Jun atau Julai.

Jika Najib tidak membubarkan parlimen, ia akan dibubarkan secara automatik pada 24 Jun sebelum pengundian berlangsung dalam tempoh 60 hari.

SPR menerusi satu kenyataan berkata, mereka akan membuat keputusan mengenai tarikh  pendengaran pertama dan kedua mengenai bantahan proposal persempadanan semula parlimen di Selangor.

Sejurus kes itu selesai, mereka akan menyerahkan laporan terakhir kepada Perdana Menteri untuk penilaian.

BN boleh membentangkan proposal itu di Dewan Rakyat pada persidangan khas yang dijangka berlangsung antara 5 Mac sehingga 5 April ini.

Jika diluluskan oleh Dewan Rakyat, sempadan baharu itu akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada bulan lalu berkata, sempadan baharu itu boleh digazetkan dalam beberapa hari sahaja selepas mendapat perkenan diraja.

Selepas ia selesai, Najib boleh membubarkan parlimen.

Tags / Kata Kunci: PRU14 , Mahathir , Najib
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan