Kesilapan Berlaku, Jangan Bangkit Kebencian - Lian Ker - Berita Semasa | mStar

Kesilapan Berlaku, Jangan Bangkit Kebencian - Lian Ker

Diterbitkan: Sabtu, 17 Februari 2018 4:07 PM

Seorang lelaki melihat iklan ucapan Tahun Baharu Cina yang memaparkan gambar seekor ayam, di sebuah akhbar. Foto AFP/Samuel REEVES.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pihak yang berkepentingan tidak seharusnya membangkitkan kebencian dan kemarahan hanya kerana kesilapan semata-mata, kata Datuk Seri Ti Lian Ker.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA mengatakan bahawa ramai yang cuba mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Cina tentang kesilapan Petronas serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Petronas telah memaparkan latar belakang warna terang untuk sampul angpau, sementara kementerian meletakkan iklan dengan zodiak haiwan yang salah bagi simbolik Tahun Baharu Cina kali ini.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Lian Ker berkata, pembangkang cuba mencetuskan permusuhan kaum terhadap kesilapan manusia.

"Kesemua ini (kesilapan) digembar-gemburkan oleh DAP dan Pakatan (Harapan) untuk menggambarkan perpecahan dan khususnya untuk membangkitkan kemarahan orang Cina," katanya.

Lian Ker berkata, isu itu juga ditonjolkan oleh akhbar yang berpangkalan di Hong Kong, South China Morning Post.

Petronas dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa paket angpau yang mempamerkan lukisan dakwat Cina dari koleksi seninya, menggambarkan sambutan fajar baharu dan harapan untuk tahun baharu.

"Latar belakang itu berwarna terang, bagaimanapun, telah disalah anggap sebagai putih, di mana dalam budaya Cina dianggap tidak baik.

"Kami tiada niat untuk mengetepikan sebarang sensitiviti budaya," kata syarikat minyak dan gas negara itu.

KPDNKK turut membuat permohonan maaf kerana menggunakan ayam jantan dan bukannya seekor anjing dalam iklan ucapan Tahun Baharu Cina sempena Tahun Anjing, yang mengaitkannya dengan kesilapan teknikal.

"Kami memohon sejuta kemaafan di atas iklan yang disiarkan," menurut kementerian itu.

"Selepas permohonan maaf, kesilapan telah dilupakan dan tiada kekecewaan yang berpanjangan dalam masyarakat Cina kerana kaum Cina adalah lebih kepada pragmatik dan tenang," kata Lian Ker.

Beliau mendakwa DAP telah membangkitkan isu perkauman untuk mewujudkan 'kebencian dan kemarahan'.

"Kami menghargai perpaduan dan keharmonian dan tentunya tidak mahu menimbulkan ketegangan kaum terhadap isu-isu yang remeh-temeh," katanya.

Lian Ker menambah, rakyat Malaysia menyanjungi perpaduan dalam kepelbagaian.

"Sudah tiba masanya untuk beralih dan melihat perkara yang penting dan bekerjasama untuk mencapai perkara yang lebih besar," katanya.

Tags / Kata Kunci: KPDNKK , Petronas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan