Kadar Tol, Levi Linkedua Turun - Najib - Berita Semasa | mStar

Kadar Tol, Levi Linkedua Turun - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 9 Februari 2018 7:47 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

MUAR: Kerajaan pada Jumaat mengumumkan penurunan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) berkuat kuasa Selasa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya dengan kerajaan Singapura sebelum ini telah mengadakan perbincangan mendalam dan langkah itu diputuskan bagi menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor.

“Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial di Linkedua kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia daripada kadar di antara RM100 hingga RM200 pada ketika ini.

“Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi linkedua iaitu antara jam 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Lampu Jalan Kampung (LJK) 2017 Sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Negeri di Padang Awam, Bukit Mor, di sini, Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Menurut Najib, langkah itu dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus selain memberi manfaat besar kepada rakyat Johor yang bekerja di negara republik itu. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Linkedua , tol , levi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan