Jangan Buat Kesimpulan Kes Pelajar Bunuh Diri - Berita Semasa | mStar

Jangan Buat Kesimpulan Kes Pelajar Bunuh Diri

Diterbitkan: Khamis, 8 Februari 2018 1:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat tidak terus membuat kesimpulan berhubung kes pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, baru-baru ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata semua pihak perlu bertenang kerana hakikat sebenar kejadian masih belum diketahui.

"Ibu bapa juga dinasihat berbincang dahulu dengan pihak pentadbiran sekolah sebelum mengambil sebarang tindakan.  "Sebaiknya perlu ada bersama pihak pengetua atau guru besar, wakil ibu bapa dan wakil kesatuan dalam perbincangan tersebut,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) bagi membincangkan topik ‘Profesionalisme Perguruan' di sini Rabu malam.

Beliau berkata orang ramai tidak boleh membuat kesimpulan awal mengenai isu berkenaan kerana ia masih disiasat polis.

Mohamad Ali berkata orang ramai hendaklah memberi kepercayaan kepada pihak polis kerana mereka memerlukan masa untuk menyiasat isu berkenaan secara komprehensif.

Jika sesuatu isu timbul di sekolah, ibu bapa perlu menyiasat perkara berkenaan terlebih dahulu dengan mengadakan perbincangan bersama pihak sekolah bagi mengetahui punca sebenar permasalahan berlaku, tegasnya.

“Sekiranya tidak boleh diselesaikan di peringkat dalaman, saya cadangkan mereka membawa sesuatu kes itu ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk dibincangkan tanpa perlu mengambil tindakan tidak wajar.

Katanya tindakan sedemikian perlu bagi  mengelakkan sebarang ketegangan antara ibu bapa dan pihak sekolah lantas mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis dan tenteram untuk anak-anak di sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang merupakan panelis kedua dalam program itu, turut mengingatkan para guru supaya merujuk semula Tatasusila Profesion Perguruan Guru Malaysia sebelum melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap pelajar mereka.

"Menurut tatasusila itu, tanggungjawab guru terhadap pelajar termasuk lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain, bersikap adil kepada pelajar tanpa mengira faktor jasmani, mental, emosi, politik dan ekonomi serta merahsiakan ikhtisas atau hal sulit pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya,” jelasnya.

Pada 1 Februari lepas, M.Vasanthapiriya, 13, meninggal dunia setelah tujuh hari berada dalam  keadaan koma selepas menggantung diri di bilik rumahnya, dipercayai tertekan akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Januari lepas.

-- Bernama
Tags / Kata Kunci: Alimuddin , PIBGN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan