Kopi Bercampur Dadah Belum Merebak Ke Negeri Lain - Polis - Berita Semasa | mStar

Kopi Bercampur Dadah Belum Merebak Ke Negeri Lain - Polis

Diterbitkan: Isnin, 5 Februari 2018 6:05 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Polis percaya kopi pracampuran berperisa durian didakwa dicampur dengan dadah yang menyebabkan lima individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang akibat mengalami gejala letih yang teruk belum  tersebar ke negeri lain.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, setakat ini polis tidak menerima kes seumpama di negeri selain  Pulau Pinang dan percaya sindiket yang mencampurkan dadah ke dalam kopi pracampuran itu tidak sempat memasarkannya.

“Melalui siasatan awal polis, kopi  dicampur dadah ini dipercayai untuk dijual di pusat hiburan, sama seperti kes-kes minuman yang dicampur dadah yang lain, bagaimanapun atas sebab yang tidak diketahui kopi ini telah dibuang ke kawasan pembuangan sampah di Taman Ria, Air Itam Pulau Pinang sebelum ditemui oleh orang awam.

"Mungkin orang awam yang melihat kopi itu adalah 'brand' mahal, kopi itu telah diambil dan dibawa pulang sebelum diberikan kepada rakan-rakan yang lain tanpa diketahui isi kandungannya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.

Chez Chiang berkata, polis kini giat mengesan individu atau sindiket terlibat yang cuba mengedarkan peket kopi segera berperisa durian tersebut di Pulau Pinang.

Jumaat lepas, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar dilaporkan berkata, berdasarkan ujian analisis sampel kopi yang dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang terdapat kandungan dadah namun belum dapat dipastikan jenisnya.

Katanya, hasil analisis sampel peket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada dua pengawal keselamatan itu juga menunjukkan bahawa peket tersebu telah dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah peket menunjukkan kesan koyak selain tambahan lebih 10 gram (g) daripada berat asal iaitu 40 g kepada 50 g.

Seramai lima individu termasuk dua wanita mendapatkan rawatan di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan di wad untuk pemerhatian dan dijalankan beberapa ujian. Tiga daripada mereka dibenarkan keluar wad selepas keadaan mereka bertambah baik. - Bernama

Tags / Kata Kunci: kopi , dadah
   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan