Selagi Tiada Bukti, Jualan Kopi Pracampuran Tidak Akan Ditarik - KKM - Berita Semasa | mStar

Selagi Tiada Bukti, Jualan Kopi Pracampuran Tidak Akan Ditarik - KKM

Diterbitkan: Ahad, 4 Februari 2018 3:06 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kopi pracampuran yang menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang mengalami gejala letih teruk tidak akan ditarik daripada rak jualan selagi tiada bukti tentang produk itu tercemar, kata Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan berkata, selain sampel kopi pracampuran yang tercemar yang disahkan oleh polis mengandungi dadah, tiada bukti diperolehi untuk menyalahkan pihak pengeluar produk kopi tersebut.

"Sehingga siasatan selesai dijalankan, kami ingin menasihatkan agar orang awam berhati-hati.

"Selagi tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan pihak pengeluar dengan kes ini, kami tiada perancangan untuk menariknya daripada dijual di kedai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Terapi Holistik Bersepadu di Klinik Derma Sivasanta di Jalan River di pada Ahad.

Subramaniam berkata, pihak kementerian telah melawat kilang tersebut dan tidak menjumpai bukti bahawa jenama kopi pracampuran itu mengandungi dadah selepas ujian dijalankan.

Subramaniam menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Pusat Terapi Holistik Bersepadu. - Bernama

Pada Sabtu, Ketua Polis George Town Asisten Komisioner Anuar Omar mendedahkan bahawa bahan yang ditemukan di dalam sampel kopi pracampuran yang diminum oleh dua pengawal keselamatan warga Nepal terbabit.

"Pemeriksaan menunjukkan paket kopi itu telah dibuka dan terdapat tanda koyakan pada bahagian bawah paket tersebut.

"Paket yang dicantumkan semula itu turut mengandungi lebihan berat sebanyak 10 gram (g) berbanding berat asal iaitu 40g.

"Ia mengandungi bahan berwarna hijau yang berbeza dengan paket asli," kata beliau.

Lima pesakit menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang antara 27 dan 30 Januari selepas meminum air kopi pracampuran berperisa durian.

Tags / Kata Kunci: kopi pracampuran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan