Dr Hilmi Jawab Dakwaan Ubat, Vaksin Kementerian Ada DNA Babi - Berita Semasa | mStar

Dr Hilmi Jawab Dakwaan Ubat, Vaksin Kementerian Ada DNA Babi

Diterbitkan: Sabtu, 27 Januari 2018 12:25 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan menegaskan semua ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan kepada pesakit adalah halal dan selamat digunakan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya  berkata dakwaan menyatakan terdapat ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan oleh kementerian itu mengandungi 'deoxyribonucleic acid' (DNA) babi adalah tidak berasas.

"Dulu lagi kita dengar ada kumpulan tertentu yang anti vaksin kerana mendakwa ia mengandungi DNA babi tapi sekarang ini timbul pula isu kata bukan sahaja vaksin malah ubat-ubatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan turut mengandungi perkara sama (DNA babi).

"Mereka yang membuat tuduhan itu tidak mendapatkan maklumat yang betul dan sahih hanya mencari ia (maklumat) menerusi Internet sahaja.

"Mudah untuk mereka jadi 'doktor google' dan bagi maklumat tidak betul kepada masyarakat. Apa yang mengecewakan saya ada segelintir masyarakat  kita yang percaya," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Pulau Pinang, di sini malam Jumaat.

Sementara itu, Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata hampir 90 peratus daripada 856 klinik kesihatan di seluruh negara telah menubuhkan PPKK yang dilihat dapat mengukuhkan lagi strategi untuk menggembleng penglibatan komuniti bagi menyebarkan perkhidmatan kesihatan seluas mungkin. -Bernama

Tags / Kata Kunci: vaksin , Dr Hilmi Yahaya , DNA babi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan