Ramli Ibrahim Bakal Terima Anugerah Padma Shri India - Berita Semasa | mStar

Ramli Ibrahim Bakal Terima Anugerah Padma Shri India

Diterbitkan: Jumaat, 26 Januari 2018 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penari tarian klasik, Datuk Ramli Ibrahim bakal menerima anugerah tertinggi India khusus untuk orang awam kerana sumbangannya kepada seni.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri India menyebut, tiga kategori Anugerah Padma adalah Padma Vibhushan, Padma Bhushan dan Padma Shri.

Anugerah ini diberikan kepada pelbagai aspek termasuk seni, kerja-kerja sosial dan hal ehwal awam itu diumumkan tiap tahun sempena Hari Republik India.

Padma Vibhushan disampaikan kepada penerima yang memberi khidmat cemerlang, manakala Padma Bhusan pula bagi individu yang menyumbang khidmat terbaik di peringkat tertinggi.

Ramli, 64 yang juga Pengerusi Yayasan Sutra akan menerima anugerah Padma Shri iaitu penghormatan dan penghargaan atas sumbangan dalam bidang yang diceburinya.

Ramli adalah satu daripada 16 warga asing yang akan menerima Anugerah Padma kali ini.

Anugerah ini akan disampaikan Presiden India dalam majlis rasmi yang akan diadakan di kediaman rasminya, Rashtrapati Bhawan antara Mac atau April tiap tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, Presiden India telah meluluskan 85 penerima Anugerah Padma tahun ini.

Senarai penerima itu termasuk tiga (Padma Vibhushan), sembilan Padma Bhushan dan 73 lagi akan mendapat anugerah Padma Shri.


Tags / Kata Kunci: Ramli Ibrahim , Padma Shri
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan