Macam Dah Kahwin 10 Juta Tahun! - Berita Semasa | mStar

Macam Dah Kahwin 10 Juta Tahun!

Diterbitkan: Rabu, 24 Januari 2018 9:40 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sejak kebelakangan ini banyak tips rumah tangga yang dikongsi di media sosial, termasuk rahsia berkahwin ketika usia muda.

Namun ada tips yang diketengahkan segelintir pasangan muda ini tidak disenangi kerana mereka menggambarkan seolah-olah sudah bertahun-tahun berpengalaman sebagai suami isteri.

Malahan, isu tips kahwin muda ini telah menarik perhatian seorang personaliti media sosial menerusi akaun Instagramnya @awie_mbr yang berhujah mengenai kewajaran perkongsian nasihat itu.

“Nak cakap pasal orang yang kahwin muda ni, siap bagi tips bagai...macam dah kahwin 10 tahun.

“Kau kalau nak kahwin awal, tak ada masalah. Kita tak kisah pun, tak cemburu tapi janganlah bagi tips seperti dah kahwin 10 juta tahun,” katanya dengan nada tinggi di Instagram tetapi pada masa sama terselit elemen humor yang sering dibawakannya di dalam video-video sebelum ini.

Menerusi video berdurasi seminit itu, @awie_mbr turut meminta pasangan-pasangan muda mengambil pendirian lebih bertenang dalam berkongsi pandangan.

'Posting' terbaru @awie_mbr yang berhujah mengenai pasangan muda berkongsi tips perkahwinan.

Katanya, bukan semua orang tidak mahu berkahwin apatah lagi di usia muda tetapi belum menemui jodoh selain mempunyai komitmen lain.

“Relaks, tak ada orang tak nak kahwin. Cuma awak diberi peluang dan rezeki untuk kahwin awal. Jadi, awak kena bersyukur tak payah nak berlagak sangat.

“Kami semua nak kahwin, tapi banyak komitmen. Nak jaga mak, jaga adik, jaga akak, tak macam kamu semua yang mampu, ada duit masyuk,” tambahnya lagi.

Video berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk segelintir pasangan muda yang mempertahankan tindakan berkongsi tips perkahwinan.

“Saya kahwin umur 19. Ada masalah ke kalau saya bagi tips kahwin muda? Daripada bercinta bawa perempuan, peluk sana sini baik kahwin je terus,” kata seorang netizen.

“Ingat masyuk je kahwin. Aku ni tak ada apapun kahwin awal juga. Mereka bagi tips tu supaya nanti kau nak kahwin senang, tak adalah kelam-kabut,” ujar seorang lagi.

Antara komen netizen mengenai video berkenaan.

Sementara itu, sebahagian netizen yang lain turut bersetuju mengenai hujah yang dibawakan personaliti media sosial tersebut dengan menyifatkan bahawa semua orang mahukan kebahagiaan tetapi belum berpeluang untuk berbuat demikian.

Point dia ialah bahagia tak perlu tayang kat semua orang. Jauh di sudut hati, semua orang nak bahagia juga cuma ada rezeki atau belum saja,” kata seorang netizen.

“Betul sangat, memanglah semua orang nak kahwin cuma banyak lagi tanggungjawab,” ujar seorang lagi netizen menyokong.

Malah terdapat netizen menasihatkan kepada mereka yang tidak suka dengan tips pasangan muda yang berkahwin supaya turut sama bertenang.

“Tak boleh terima tips, tak payah baca. Aku kahwin muda, relaks je nasihat kat kawan-kawan. Ajak orang buat kebaikan, rasanya tak salah,” katanya.

Tags / Kata Kunci: kahwin muda
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan