Bocor Data Penderma Organ: Polis Panggil Pengendali Laman Web - Berita Semasa | mStar

Bocor Data Penderma Organ: Polis Panggil Pengendali Laman Web

Diterbitkan: Rabu, 24 Januari 2018 2:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Data peribadi lebih 220,000 penderma organ tempatan yang didedahkan laman web Lowyat.net dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak yang membocorkan maklumat telefon bimbit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan memanggil pengendali sebuah laman web bagi membantu siasatan kebocoran data peribadi lebih 220,000 penderma organ di negara ini.

Beliau berkata, siasatan yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu mendapati laman web sama turut mendedahkan kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih tahun lepas.

“Yang hairannya isu sama (pembocoran data peribadi) yang berlaku sebelum ini adalah daripada laman Lowyat.net juga. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini.

“Polis telah bekerjasama  dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi kes terdahulu," katanya pada  sidang media Majlis Perjumpaan Ulung Ketua Polis Negara dengan semua Ketua dan Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah setiap kontinjen dan daerah di sini, Rabu.

Semalam, media melaporkan forum lowyat.net mendedahkan senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang yang mendaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ, dipercayai dicuri pada September 2016.

Portal forum itu mendakwa data berkenaan dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional.

Kebocoran itu dikatakan turut mendedahkan data pasangan penderma atau waris menyebabkan jumlah keseluruhan lebih 440,000 data peribadi.

Pada majlis itu, Mohamad Fuzi turut melancarkan buku panduan ‘Penyiasatan Jenayah dan Arahan Penyiasatan Jenayah' bertujuan memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan itu.

Katanya kesemua 14 pusat latihan polis di seluruh negara akan menjadikan buku berkenaan sebagai garis panduan bagi melatih pegawai penyiasat muda baru menamatkan latihan menjadi pegawai JSJ yang terbaik.

Tags / Kata Kunci: Fuzi , organ
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan