Fenomena Air Biru Gemparkan Penduduk - Berita Semasa | mStar

Fenomena Air Biru Gemparkan Penduduk

Diterbitkan: Rabu, 24 Januari 2018 10:25 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengarahkan sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian ringan Senawang di sini memberhentikan kerja-kerja pencucian plastik terpakai serta-merta setelah masyarakat setempat gempar dengan ‘fenomena air biru'.

Pengarah JAS Negeri Sembilan Norhazni Mat Sari berkata notis arahan itu dikeluarkan pada Isnin, selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya setelah mendapat aduan awam pada pukul 1.15 tengah hari, hari yang sama.

“Siasatan kami mendapati air biru itu terjadi akibat daripada kerja-kerja pencucian plastik terpakai yang dicemari dengan bahan pewarna. Kita telah arahkan kilang terbabit menghentikan operasi pencucian itu dan tidak lagi menerima plastik yang telah dicemari dengan bahan pewarna.

“Kilang terbabit juga telah kita arahkan supaya menyedut semula air biru itu dan proses berkenaan telah pun selesai pagi tadi dan keadaan sungai kini kembali seperti sediakala,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Air berwarna birudi Sungai Simin berpunca dari sebuah kilang pencucian plastik berdekatan. - Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian air biru di kawasan perumahan Taman Tuanku Jaafar (TTJ), Senawang dekat sini yang tular di media sosial pada Isnin.

Mengulas lanjut, Norhazni berkata fenomena air biru itu dikesan bermula daripada saluran longkang di kilang terbabit dan kemudiannya mengalir ke kawasan perumahan TTJ, seterusnya ke Sungai Simin, di sini.

“JAS juga membuat pengukuran ‘in situ' dan mendapati tahap bacaan pH adalah neutral dan tidak berbahaya kepada masyarakat setempat.

"Pun begitu, kita juga mengambil sampel air biru itu untuk dianalisa kandungan sebenarnya,” katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: fenomena air biru
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan