Murid Bawa Bekal, Peniaga 'Lunchbox' Kena Kecam - Berita Semasa | mStar

Murid Bawa Bekal, Peniaga 'Lunchbox' Kena Kecam

Diterbitkan: Selasa, 23 Januari 2018 2:00 PM

Seorang wanita tular di Facebook selepas memuat naik kisah mengenai seorang murid Tahun Dua yang makan lebihan makanan rakan-rakannya baru-baru ini. - Facebook/ Aida Puan Sri Squeq

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan seorang wanita memuat naik kisah seorang pelajar tahun dua yang sanggup makan sisa makanan kawan-kawannya kerana didakwa tidak puas hati dengan makanan yang dibekalkan ibunya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Niatnya berkongsi kisah tersebut dipertikaikan kerana terdapat netizen yang menganggap ia hanyalah strategi pemasaran Aida Najiza Najib untuk melariskan perniagaan 'lunchbox' yang baru diusahakannya.

Aida Najiza ketika dihubungi mStar Online berkata, dia tidak bermaksud mempersoalkan tindakan ibu kepada murid perempuan itu yang membekalkan makanan sunnah kepada anaknya, cuma berasa simpati dengan kanak-kanak itu yang teringin menikmati makanan seperti rakan-rakannya yang lain.

"Cerita itu sebagai peringatan... yelah anak kita, depan mata kita mungkin dia tak buat macam tu (makan makanan tidak berkhasiat), tapi belakang kita, kita tak tahu.

"Kita ibu bapa, kita kena 'alert' dengan anak-anak. Kena tahu dia makan apa. Mungkin dekat rumah kita dah bagi dia makan, tapi kena fikir dari segi lain sebab mereka juga ada nafsu ," katanya.


Status yang dimuat naik oleh Aida Najiza pada Jumaat lalu.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut hanya membawa bekalan biskut, tiga biji kurma, beberapa biji kismis dan air masak ke sekolah agama.

Kelas agama di sekolah itu dijalankan pada sesi petang dan waktu rehat yang pertama adalah pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang, manakala sesi rehat kedua adalah pada pukul 4.30 hingga 4.45 petang.

Ujar Aida Najiza, dia baru seminggu menjalankan perniagaan menjual makanan kepada seramai hampir 60 pelajar di sekolah agama tersebut yang terletak di Melaka.

Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu memberitahu bahawa dia berasa tersentuh dengan apa yang dilihatnya dan berniat untuk memberikan makanan percuma kepada kanak-kanak tersebut, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila dihalang oleh seorang guru.

"Ada juga yang kecam 'ustazah' yang dinyatakan dalam posting saya itu kerana tidak ambil berat dan sebagainya.

"Bila 'ustazah' itu pesan kepada saya begitu, itu bermakna dia sudah pernah bercakap dengan ibu murid berkenaan," jelasnya.

Komen netizen yang mempersoalkan tindakan Aida Najiza menulis tentang kejadian tersebut di Facebook.

Tambah Aida Najiza, dia berniaga di kantin sekolah tersebut sekadar hobi dan 'suka-suka' selain menyayangi kanak-kanak.

Bekas atlet sepak takraw negara itu berharap agar pihak lain berhenti menuduh dirinya sengaja memuat naik status tersebut kerana ingin menambah pendapatan.

"Kalau tengok Facebook saya pun dah lama saya tak buka pesanan kerana saya pun terlalu sibuk dengan apa yang saya ada.

"Suami saya arkitek, saya pun berniaga bukan nak keuntungan pun. Saya suka, saya gembira dan suka budak-budak, itu sahaja," tambahnya.

Aida Najiza menjual makanan seperti dadih, spageti, nasi goreng, nasi lemak, bihun goreng dan sandwich pada harga seringgit sepinggan.

Posting tersebut dikongsi sebanyak 969 kali dan menerima lebih 2,600 tanda suka.

Tags / Kata Kunci: lunchbox , Aida Najiza , kantin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan