Johor Umum Enam Inisiatif Khas - Berita Semasa | mStar

Johor Umum Enam Inisiatif Khas

Diterbitkan: Ahad, 21 Januari 2018 8:36 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor hari ini mengumumkan enam insentif khas untuk ketua kampung bagi membela kebajikan golongan berkenaan.

Menteri  Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata insentif  itu termasuk menaikkan jumlah ganjaran  bagi ketua kampung yang telah bersara, tamat perkhidmatan ataupun meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

“Kita bersetuju bahawa jumlah ganjaran dinaikkan 100 peratus iaitu daripada RM25 kepada RM50 dan dikalikan dengan genap bulan perkhidmatan, dan bayaran minimum bagi insentif ini juga dinaikkan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 sepanjang tempoh perkhidmatan,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan mengekalkan bayaran elaun tambahan sebanyak RM200 sebulan kepada ketua kampung yang telah menerima bayaran berkenaan sejak 2005, katanya ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 700 ketua kampung negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) di sini, pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan  negeri juga  akan membayar tunggakan ganjaran perkhidmatan ketua kampung yang telah diberhentikan mulai 1 Januari 2015 susulan kenaikan jumlah ganjaran itu

Katanya insentif lain adalah meneruskan pemberian bantuan khas Hari Raya kepada semua ketua kampung yang berjumlah RM300; menambah kuota haji ketua kampung daripada lapan orang kepada 10 orang bermula tahun ini serta melanjutkan had maksimum umur perkhidmatan ketua kampung daripada 65  kepada 70 tahun.

“Keenam-enam insentif ini akan memberi manfaat secara langsung kepada semua ketua kampung di seluruh Johor. Ini kerana ketua kampung adalah struktur penting kepada pentadbiran kerajaan negeri dan tidak boleh bergerak menuju dekad baharu kalau sistem imbuhan masih di tahap dekad lama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta kerjasama ketua kampung agar memberi penjelasan dan pemahaman kepada masyarakat tentang usaha kerajaan membantu rakyat yang sering diputar  belit oleh pihak tidak bertanggungjawab gara-gara pilihan raya umum semakin hampir.

"Semua kejayaan dan pencapaian negeri ini bukan sahaja usaha dan kerja keras kerajaan negeri  tetapi usaha dan kerja keras tuan-tuan semua. Kita mesti bersepakat dan muafakat untuk memaklumkan kepada masyarakat segala cerita dan fakta yang betul," katanya - Bernama

Tags / Kata Kunci: Inisiatif , Ketua Kampung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan