Patuhi Syarat Sebelum Kerja Di Luar Negara - Anifah - Berita Semasa | mStar

Patuhi Syarat Sebelum Kerja Di Luar Negara - Anifah

Diterbitkan: Sabtu, 20 Januari 2018 4:47 PM

Datuk Seri Anifah Aman. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PAPAR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menasihatkan rakyat negara ini yang menerima tawaran kerja di luar negara supaya mendapatkan maklumat sahih termasuk syarat untuk bekerja di negara itu menerusi kedutaan negara tersebut di Malaysia atau Kedutaan Malaysia di negara terbabit.

Beliau berkata perkara itu penting kerana pihaknya telah dimaklumkan berhubung kegiatan pihak tertentu yang menawarkan peluang pekerjaan sambil melancong kepada rakyat Malaysia ke beberapa negara tertentu serta dijanjikan dengan gaji yang lumayan.

"Siasatan awal mendapati  kegiatan itu merupakan penipuan… apa yang digambarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu jauh sekali daripada realiti yang bakal dialami oleh rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara.

"Sekiranya mana-mana individu memasuki sebuah negara tanpa permit atau visa yang sah, termasuk permit pekerja asing, mereka boleh diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Pei Yin, Mambakut dekat sini, Sabtu.

Anifah berkata Kedutaan Malaysia juga akan menghadapi kesukaran untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang didapati bekerja di luar negara tanpa permit yang sah.

"Hal ini juga secara tidak langsung boleh mencemarkan imej negara kita. Oleh itu, saya ingin menasihati semua pihak untuk berwaspada dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan sebegini.

"Setiap rakyat Malaysia yang ingin mengunjungi mana-mana negara hendaklah mematuhi syarat kemasukan dan undang-undang tempatan yang sewajarnya," katanya.

Pada majlis itu, Anifah turut  menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada  420 murid daripada 14 buah sekolah rendah di sekitar Membakut.

-Bernama
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan