Halang Solat, Pekerja Dibuang - Berita Semasa | mStar

Halang Solat, Pekerja Dibuang

Diterbitkan: Jumaat, 19 Januari 2018 10:21 AM

Paparan skrin perbualan di kumpulan WhatsApp yang tersebar di media sosial.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Media sosial kecoh apabila pekerja cawangan rangkaian barangan sukan berpangkalan di United Kingdom (UK) yang beroperasi di sebuah premis di pusat membeli-belah di ibu negara didakwa dilarang bersolat semasa waktu kerja.

Ia tular selepas satu paparan skrin perbualan dalam aplikasi kumpulan WhatsApp cawangan itu dimuat naik di beberapa Instagram pada Khamis.

Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang penyelia cawangan itu dengan menyebut: Perhatian kepada semua kakitangan baharu, di JD tidak boleh solat atau sembahyang. Jika anda tidak boleh terima, sila hantar (surat) peletakan jawatan anda.”

Tindakan itu membangkitkan kemarahan netizen yang menyifatkan ia tidak menghormati tanggungjawab rakyat berbilang agama dan kaum di Malaysia.

Malah ramai yang mendesak supaya pihak pengurusan syarikat mengambil tindakan sewajarnya. 

Pada lewat malam Khamis, JD Sports Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa ia memahami sentimen yang mengetengahkan perihal JD Sports **** yang menolak hak pekerjanya untuk menunaikan solat.


Sebagai jaminan kepada semua pelanggan, rakan-rakan dan rakan kongsi yang beragama Islam, ia memberitahu bahawa tindakan tersebut bukan polisi yang diamalkan oleh syarikat itu.

“Ia merupakan tindakan seorang individu yang melanggar falsafah syarikat JD Sports. Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang kelakuan yang tidak menghormati hak budaya dan agama masing-masing.

“Kami telah menyiasat kejadian ini dan mengenal pasti staf yang bertanggungjawab. Perkhidmatan individu tersebut telah ditamatkan serta-merta atas salah lakunya selepas melaksanakan siasatan dalaman secara terperinci,” menurut kenyataan yang dikeluarkan JD Sports Malaysia di laman sosial Facebook dan Instagram. 


Menurut kenyataan tersebut, walaupun JD Sports merupakan sebuah syarikat antarabangsa, pihaknya akan terus menerapkan dan menjaga nilai budaya serta kepercayaan agama masing-masing. 

“Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melibatkan unsur-unsur diskriminasi dan akan terus mencuba sedaya-upaya untuk mengekalkan prinsip dan nilai ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Tags / Kata Kunci: JD Sports
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan