Kerusi Dicampak Nyaris Terkena Kepala - Berita Semasa | mStar

Kerusi Dicampak Nyaris Terkena Kepala

Diterbitkan: Jumaat, 19 Januari 2018 10:19 AM

Kanak-kanak terdedah kepada pelbagai risiko kerana sering bermain-main di sekitar blok Pangsapuri Putra Ria.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua hari lalu, seorang pekerja am yang menetap di Pangsapuri Putra Ria di sini bersyukur kerana masih dapat meneruskan kehidupan.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi itu lega kerana sebuah kerusi besi yang dicampak dari aras atas pangsapuri di Jalan Bangsar hampir terkena kepalanya.

Ketika kejadian, Azmi sedang menyapu di kawasan gelanggang futsal apabila kerusi itu terjatuh di sebelahnya.

Dia syak ia dicampak dari penghuni aras 10 atau 12 dari blok 91, iaitu satu daripada empat blok kediaman di situ.

Insiden itu berlaku hanya dua hari selepas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, S.Sathiswaran terbunuh selepas kerusi yang dicampak dari PPR Seri Pantai terkena kepalanya.

Bagaimanapun, menurut Azmi, kejadian kerusi dicampak dari aras atas pangsapuri bukan sesuatu yang baru bagi dirinya.

Malahan, katanya, troli membeli-belah, bisikal, lampin pakai buang dan kondom juga sering dicampak dari unit kediaman aras tinggi.

"Sebelum kerusi, ada kotak berisi beg lama dan baju juga terjatuh betul-betul di sebelah saya.

"Apabila saya nak mengangkat kotak itu, saya terdengar suara dari aras atas blok berkenaan dan tiba-tiba sebuah kerusi terjatuh ke tanah.

"Berdebar-debar jantung saya apabila kerusi itu hampir terkena kepala saya," katanya.

Sebaik kejadian itu, Azmi terus menyiasat bagi mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab itu, bagaimanapun, pihak terbabit telah tiada.

"Seorang penduduk memberitahu saya, ada pasangan suami isteri berselisih faham dan kerusi itu dicampak mungkin kerana terlalu marah," katanya yang telah membuat laporan polis berhubung kejadaian itu.















Tags / Kata Kunci: PPR Seri Pantai , Putra Ria
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan