“Rakyat Malaysia, Berhenti Tanya Halal Ke Tidak?” - Berita Semasa | mStar

“Rakyat Malaysia, Berhenti Tanya Halal Ke Tidak?”

Diterbitkan: Khamis, 18 Januari 2018 4:33 PM

Adam menyuarakan pendapatnya tentang mentaliti netizen yang gemar bertanya soalan yang tidak sensitif kepada orang Muslim yang lain.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menjadi personaliti media sosial membuatkan setiap gambar makanan yang dimuat naik olehnya mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen tentang status halal dan haram hidangan tersebut.

Chef Adam Mahamed Ismail atau lebih popular dengan panggilan Adamdidam meluahkan rasa kecewanya apabila terdapat pihak yang mempersoalkan keimanannya sebagai seorang Muslim yang sering merantau ke luar negara dan mencuba hidangan masyarakat setempat.

Dalam satu posting di laman sosial, Adam meminta agar netizen berhenti bertanyakan tentang status halal makanan yang dimuat naik olehnya dan berhenti menghina orang Muslim lain, sekali pun mereka sedang cuba untuk menjadi Muslim yang lebih baik.

"Saya tidaklah rasa terhina dengan soalan-soalan itu tapi mentaliti orang kita perlu berubah kerana status halal sesuatu jenis makanan itu bukan tertakluk kepada bangsa yang menyediakannya.

"Ini tidak, bila saya ke Thailand... ada yang tanya halalkah makanan yang saya cuba itu. Malahan, ada yang tidak sensitif dengan bertanyakan bolehkah makan masakan yang dimasak oleh mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Paparan skrin video yang dimuat naik oleh Adam di Instagram miliknya.

Pemuda kelahiran Kelantan yang pernah menetap di United Kingdom itu memuat naik video tentang komen-komen yang diberikan netizen yang mempersoalkan status halal setiap kali dia memuat naik gambar makanan di laman Instagram.

Posting tersebut sudah ditonton lebih 479,971 kali dan menerima hampir 1,000 komen daripada netizen yang bersetuju dan ada juga daripada mereka yang tidak sependapat dengannya.

Pemuda yang memiliki lebih 255,000 pengikut di Instagram itu berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya cepat menjatuhkan hukum apabila melihat gambar makanan yang tidak pernah dicuba atau dilihat sebelum ini.

"Ia tidak masuk logik akal saya bagaimana seorang Muslim boleh tanya seorang Muslim yang lain sama ada makanan yang dimakan itu halal atau tidak.

"Adakah itu satu cara untuk bertanya sama ada saya makan makanan Haram? Atau adakah ia membuatkan anda berasa anda adalah Muslim yang lebih baik?," tulisnya pada kapsyen posting tersebut.

Adam gemar berkongsi gambar makanan tempatan yang menarik di setiap destinasi yang dilawatinya.

"Bagaimana jika orang luar baca komen itu dan menganggap Islam ini ekstrem serta mempertikaikan keimanan orang yang seagama dengan mereka?

"Saya cuba tuliskan pendapat saya melalui posting itu dengan sebaiknya, tapi masih ada yang salah faham dan mengatakan saya tidak boleh menerima soalan mereka tentang status halal dan haram," katanya dalam nada kesal.

Tambah Adam, dia bersikap terbuka sekiranya netizen ingin berkongsi pendapat mereka, namun harus bijak membezakan antara 'speak up' (bersuara) dengan kenyataan berbaur amarah.

"Berhenti tanya soalan sama ada makanan yang saya muat naik itu adalah halal atau tidak! Berhenti mempersoalkan perkara-perkara yang bodoh! Hentikan membuat andaian mengenai perkara yang anda tidak pasti! 

"Berhenti menghina orang Islam lain hanya kerana anda ingin menjadi seorang Muslim yang baik kerana ia tidak akan menjadikan anda lebih baik! Saya seorang Muslim yang cuba memenuhi kewajipan saya, sama seperti anda semua, yang memanggil diri anda seorang Muslim!" tegasnya pada posting tersebut.

Tags / Kata Kunci: Adamdidam , halal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan