“Sekolah Tak Boleh Paksa Pelajar Derma” - Berita Semasa | mStar

“Sekolah Tak Boleh Paksa Pelajar Derma”

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 5:07 PM

Chong Sin Woon.

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Sekolah tidak boleh memaksa pelajar memberi derma, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata, sekolah hanya dibenarkan untuk mengutip derma secara sukarela dan selepas mendapat kelulusan daripada jabatan pendidikan negeri atau daerah masing-masing.

"Anda tidak boleh memaksa pelajar menderma, itu salah," katanya ketika ditemui selepas lawatan ke pasar basah Seremban di sini.

Malah, Sin Woon berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lembaga pengurusan sekolah tidak boleh memaksa pelajar memberikan wang kepada sekolah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah sebuah sekolah menengah bantuan kerajaan di sini yang meminta pelajarnya menderma RM150 kepada sekolah.

Menurut Sin Woon, jika sekolah sedia memberikan penjelasan kepada ibu bapa mengapa mereka memerlukan dana tambahan, pastinya ibu bapa akan sudi memberi sumbangan.

"Hakikatnya, sekolah tidak boleh memaksa pelajar untuk menderma, tetapi jika anda memberitahu ibu bapa yang anda memerlukan dana tambahan seperti untuk kerja-kerja yang perlu dilakukan segera seperti membaiki tandas, saya percaya mereka akan sudi menderma seberapa yang mereka mampu," katanya.

Tags / Kata Kunci: derma , sekolah , Chong Sin Woon
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan