Majoriti Tipis Bukti Tiap Undi Berharga - APR - Berita Semasa | mStar

Majoriti Tipis Bukti Tiap Undi Berharga - APR

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 7:20 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:“Walau satu undi ia sangat-sangat bermakna,” demikian kata Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR), Hasanul Isyraf Naim.

Sememangnya ia kenyataan lazim yang diucapkan menjelang berlangsungnya pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, namun ia wajar diberi perhatian untuk manfaat bersama.

Menjelaskan isu berkaitan hak dan tanggungjawab pengundi, katanya, nilai setiap undi itu akan lebih berharga jika keputusan pertandingan memihak kepada calon yang menang dengan majoriti tipis.

“Mengundi adalah hak dan tanggungjawab kita kepada negara.

“Jika mula-mula hanya seorang yang kata "satu undi saja, kalau tidak mengundi pun tak ada apa-apa kesan", tetapi bayangkan jika 1,000 rakyat yang layak mengundi bertanggapan sama, bermakna 1,000 undi dah rugi,” katanya ketika memberi taklimat bertajuk Media dan Pilihan Raya pada Program Pendidikan Pengundi Dalam Urusan Pilihan Raya di Menara Star, di sini, Selasa.


Beliau memberi contoh kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN)Kemuning, Kelantan melibatkan persaingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional(BN dan PAS) pada 2004.

Keputusan pada PRU-11 itu memihak kepada calon PAS, Zakaria Yaacob yang memperoleh 6,078 undi, menewaskan Wan Mohamad Zin Mat Amin(BN)dengan majoriti tipis iaitu dua undi.

“Situasi ini nampak jelas bagaimana berharga setiap undi jika setiap pemilih melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SPR sentiasa menggalakkan setiap rakyat yang telah mendaftar sebagai pemilih untuk keluar menunaikan tanggungjawab, termasuk penuntut universiti.

“Berdasarkan proses yang dilaksanakan SPR, pengundian dan pengiraan undi dijalankan dengan telus hinggakan tiada ruang untuk penipuan atau SPR bertindak cuba memanipulasi keadaan kerana setiap urusan diperhatikan ejen calon sebagai pemantau, selain setiap urusan didokumentasikan dengan rapi, ” katanya.

Malahan, katanya, kenyataan “undi adalah rahsia” sememangnya benar kerana sukar untuk mengetahui calon pilihan pengundi kerana nombor siri pada kertas undi tidak mencatat identiti penerimanya.

Selain majoriti tipis, kata Hasanul, belum pernah berlaku dalam PRU atau PRK negara ini, calon bertanding memperoleh jumlah undi yang sama.

“Memang tidak pernah berlaku, jika terjadi pada PRU kali ini, sejarah akan tercipta dan ketua tempat mengundi perlu memutuskan calon yang menang dengan cara undian dan kaedahnya terpulang kepada pegawai pilihana raya berkenaan, sama ada  cabutan atau undi, semuanya ikut kreativiti ketua tempat mengundi,” katanya.

Mengenai APR, kata Hasanul, ia ditubuhkan pada 2007 dan hingga kini mempunyai 30 petugas.

“Tugas hakiki APR adalah melaksanakan latihan, pendidikan, promosi dah publisiti untuk SPR,” katanya.

Tags / Kata Kunci: SPR , Hasanul Isyraf Naim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan