Identiti Sajat: Jakim Temui Jalan Penyelesaian - Berita Semasa | mStar

Identiti Sajat: Jakim Temui Jalan Penyelesaian

Diterbitkan: Selasa, 16 Januari 2018 7:08 PM

Mohd Izwan (kiri) bersama ibubapa Sajat serta usahawan kosmetik itu ketika mengadakan pertemuan di Wisma Nur Sajat pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Bercakap kepada mStar Online, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan  Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, pihaknya dalam fasa untuk merungkai persoalan yang ditimbulkan masyarakat mengenai Sajat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk penyelesaian yang akan digunapakai untuk menangani isu ini.

"Alhamdulillah. Kami telah menemui jalan penyelesaian. InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar.

"Jalan penyelesaian ini bagi mendapatkan pengesahan identiti sebenar Sajat," katanya kepada portal berita ini, petang Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Sajat di Wisma Nur Sajat di sini.

Difahamkan, kedua ibu bapa Sajat turut serta dalam pertemuan itu.

Ditanya adakah dalam pertemuan itu pihak Jakim telah mendapat pengesahan daripada Sajat, Mohd Izwan berkata: "Belum."

Mohd Izwan berkata, sebarang urusan dalam mendapatkan pengesahan itu akan dibuat melalui perbincangan secara dalaman.

"Ia adalah perbincangan dalaman, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya lagi.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan Sajat sedia berjumpa dengan pihak Jakim berhubung isu berkaitan dirinya hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Ia susulan 'mesej terbuka' Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim di laman sosial Facebook pada Isnin berhajat untuk berjumpa dengan Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini mencetuskan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.

Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti usahawan kosmetik berkenaan.

Sementara itu, Sajat pula berkata, pertemuannya bersama Jakim adalah untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu berbangkit.

"Alhamdulillah, hari ini saya terima kedatangan ziarah daripada wakil Jakim.

"Insya-Allah ada jalan penyelesaiannya, doakan yang terbaik ya," jawabnya ringkas.

Tags / Kata Kunci: Sajat , Jakim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan